Mahkamah keluar perintah larangan bersuara terhadap Che'gu Bard

Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard. Foto Bernama
Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard, yang melarang beliau daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkaitan kes fitnah jenayah yang dihadapinya.

Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah larangan bersuara itu.

"Mahkamah ini mendapati, arahan yang ditolak Hakim Mahkamah Sesyen tidak wajar dan mengikut Seksyen 325 (1) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang mahkamah ini menjalankan bidang kuasa penyemakannya, membenarkan permohonan untuk semakan jenayah dan mengikut Seksyen 316 (c) CPC, mengetepikan keputusan oleh Mahkamah Sesyen itu.

"Mengikut bidang kuasa sedia ada mahkamah ini, perintah larangan bersuara itu kini dikenakan sebagai tambahan kepada perintah jaminan yang diberikan terhadap responden (tertuduh), sementara menunggu perbicaraan,” katanya.

Dalam penghakimannya, Hakim Muniandy berkata adalah lebih baik jika hakim perbicaraan mendengar kes itu mengikut peraturan atau undang-undang dan prosedur tanpa menghiraukan sebarang kenyataan, ulasan dan kritikan, yang mungkin dilemparkan secara keseluruhan terhadap kes itu.

"Prinsip undang-undang berkaitan kesucian perbicaraan perlu dipelihara dalam apa juga keadaan. Memandangkan pertuduhan itu bersignifikan, yang mengikut Seksyen 500 dibaca bersama Seksyen 499 Kanun Keseksaan, rasionalnya adalah untuk mengelakkan sebarang tohmahan yang akan memudaratkan nama baik Yang di-Pertuan Agong,” kata hakim itu.

Hakim itu berkata tidak seperti kes sivil, di mana pihak yang terkilan berada dalam kedudukan untuk memohon injunksi bagi menghalang dan menghalang pesalah daripada mengulangi kenyataan fitnah itu, jalan sedemikian tidak tersedia untuk pihak pendakwaan dalam prosiding jenayah, sebaik perkara itu sampai ke mahkamah, mahkamah mengambil alih pengendalian kes untuk memastikan keadilan tidak terjejas untuk kedua-dua pihak pendakwaan dan orang yang dituduh.

"Pengendalian prosiding penghinaan atau seumpamanya adalah perkara yang perlu diuruskan apabila keperluan itu timbul. Justeru, sehingga ketika itu kesegaran isu-isu yang ingin disampaikan pada perbicaraan serta kesucian perbicaraan perlu dipelihara oleh mahkamah,” katanya.

Hakim Muniandy membuat keputusan itu berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan perintah larangan bersuara untuk Badrul Hisham mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dihadapi Badrul Hisham.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan perintah larangan bersuara untuk Badrul Hisham mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan bagi pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya.

Hakim Azhar berkata mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak responden (Badrul Hisham) bahawa tiada alasan yang kuat untuk mahkamah ini mengubah perintah yang telah diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen, apabila permohonan ini dibuat di mahkamah tersebut.

"Oleh itu, permohonan pihak pendakwaan untuk perintah larangan bersuara atau gag order terhadap responden ditolak. Bagaimanapun, responden diingatkan bahawa kebebasan bersuara yang diberikan mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan ada hadnya dan bukan sesuatu yang mutlak,” kata hakim itu.

Pada 29 April, Badrul Hisham, 45, didakwa atas pertduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Badrul Hisham juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang 22 Jan, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Badrul Hisham diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!