RANAU: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Togop Darat 1, di sini menikmati kemudahan kesihatan menerusi perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress yang pertama diperkenalkan di Malaysia.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara penyedia perkhidmatan jalur lebar satelit, MEASAT Global Berhad (MEASAT) dan Mudah Healthtech Sdn Bhd (Mudah Healthtech) menerusi platform CONNECTme NOW.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim, pihaknya dan rakan strategik, Mudah Healthtech meluaskan manfaat capaian jalur lebar satelit berkelajuan tinggi bagi segenap rakyat Malaysia di seluruh pelosok negara.

Jelas beliau, langkah tersebut sebagai bukti komitmen dan kesungguhan MEASAT untuk merapatkan jurang perkhidmatan antara penduduk bandar dan luar bandar.

“Melalui inisiatif Sihat Xpress, pihak MEASAT dan Mudah Healthtech mampu memberikan manfaat kepada satu juta rakyat Malaysia menjelang tahun 2027, melalui hampir 4,000 ‘hotspot’ CONNECTme NOW yang sedia ada di seluruh negara bersama dengan infrastruktur desa lain.

“Kalau sebelum ini, kami melancarkan inisiatif KampungDigital365.com di kawasan pedalaman untuk menaikkan taraf hidup rakyat luar bandar melalui aktiviti e-dagang., kini melalui Perkhidmatan Telekesihatan Desa Sihat Xpress pula, kami mahu mempertingkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di luar bandar, menggunakan teknologi digital,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Inovasi dan Perkhidmatan Telekesihatan Desa antara MEASAT dan Mudah Healthtech.

Melalui inisiatif Sihat Xpress, penduduk kampung boleh menggunakan kiosk telekesihatan untuk memeriksa tahap oksigen, tekanan darah, dan suhu badan mereka.

MoU masing-masing ditandatangani oleh Yau dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mudah Healthtech, Datuk Dr Kantha Rasalingam, serta disaksikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng.

MoU tersebut turut menyaksikan kedua-dua syarikat komited untuk mendigitalkan klinik dengan keupayaan telekesihatan, menerusi sokongan daripada sekurang-kurangnya 1,000 doktor, melibatkan sehingga 2,000 kiosk telekesihatan Sihat Xpress dalam tempoh dua tahun akan datang.

Melalui inisiatif Sihat Xpress, penduduk kampung boleh menggunakan kiosk telekesihatan untuk memeriksa tahap oksigen, tekanan darah, dan suhu badan mereka.

Selain itu, mereka boleh berunding dengan doktor secara dalam talian mengenai pelbagai isu perubatan bukan kecemasan, seperti penyakit ringan dan pertanyaan kesihatan umum.

Sementara itu, Dr Kantha dalam ucapannya berkata, Mudah Healthtech berkongsi visi untuk merevolusikan akses dan pengurusan kesihatan, dengan tujuan menjadikan kesihatan lebih mudah diakses tanpa mengira lokasi atau status sosioekonomi.

“Kerjasama ini menandakan langkah penting ke arah meningkatkan akses kesihatan luar bandar, memanfaatkan teknologi digital untuk menangani cabaran geografi dan memperbaiki kesejahteraan penduduk luar bandar di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Kampung Togop Darat terletak di bawah Parlimen Ranau, dengan akses klinik kesihatan terdapat di Timbau dan Malinsau, dengan jarak perjalanan masing-masing lebih 40 minit dan 90 minit.