AirAsia Jadi Rakan Penerbangan Rasmi Bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024

AirAsia Jadi Rakan Penerbangan Rasmi Bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024

0
SHARE
Airasia
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot sekitar Majlis Pelancaran Pengumuman Rakan Penerbangan Rasmi Persidangan Malaysia-China 2024 ( Sumber Foto: Ihsan AirAsia )

KUALA LUMPUR – AirAsia telah diumumkan sebagai Rakan Penerbangan Rasmi bagi Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) bagi memastikan akses dan hubungan yang lebih baik untuk para perwakilan serta peserta dari China serta negara-negara ASEAN yang lain.

Pengumuman itu dibuat pada sesi Siri Libat Urus MCS 2024 di Kuala Lumpur, melambangkan pentingnya sidang kemuncak ini sebagai acara utama memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah asing yang terbesar di China, AirAsia akan menawarkan penerbangan eksklusif kepada peserta sidang kemuncak ini.

Promosi ini adalah bagi perjalanan yang dibuat dari 9 sehingga 20 Disember 2024 dengan tempahan dibuat melalui laman web MCS 2024 di www.malaysiachinasummit.com.my.

Laluan promosi ini melibatkan penerbangan AirAsia ke bandar-bandar utama di Asia seperti Hong Kong, Hangzhou, Shenzhen, Guangzhou, Shanghai, Chengdu, Jakarta, Ho Chi Minh City, Singapura, Bangkok, Phnom Penh, Siem Reap, Sihanoukville, Vientiane dan Manila.

Selain itu, para perwakilan yang tiba di Kuala Lumpur boleh menggunakan AirAsia Ride sebagai pengangkutan di ibu kota, di samping menikmati tawaran hidangan Santan AirAsia dan barangan eksklusif di sidang kemuncak ini bagi memastikan mereka menikmati pengalaman layanan santun Malaysia.

MCS 2024 dianjurkan oleh Qube Integrated (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), sebagai salah satu program utama untuk memperingati ulang tahun ke-50 ini yang disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Sidang kemuncak ini dijadualkan berlangsung dari 17 sehingg 19 Disember 2024 di Malaysia international Trade and Exhibition Centre (MITEC) yang dijangka menarik 500 pempamer dan 10,000 perwakilan dari Malaysia, China dan negara-negara ASEAN.

Sidang kemuncak akan merangkumi Ekspo Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa selama tiga hari dan Persidangan Kepimpinan selama dua hari.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dalam ucapannya menekankan pentingnya kerjasama dalam mempromosikan hubungan serantau dan pertukaran budaya.

Beliau turut berucap mengenai pemulihan pasca-Covid dan kempen promosi untuk menempatkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan dan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) terulung di Asia.

“Sumbangan kehadiran ahli perniagaan adalah penting, mengatasi pelancong biasa kerana mereka biasanya menginap lebih lama dan banyak berbelanja untuk pengangkutan, penginapan dan makanan.

“Kami sedang meningkatkan kemudahan untuk menarik lebih ramai ‘pelancong perniagaan’ ini, terutamanya semasa acara penting seperti persidangan antarabangsa, ekspo, dan perjumpaan korporat.

“MCS 2024 adalah pentas penting untuk mempamerkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan MICE, dan dengan itu, melalui Tourism Malaysia, kami bangga dapat menjadi rakan strategik bagi sidang kemuncak ini untuk menyusun, mempamer dan mempersembahkan warisan budaya negara dan pelbagai tarikan pelancong,” katanya.