TERKINI: PH-BN kuasai undi usia 41 tahun ke atas, PN kuasai 40 tahun ke bawah | Nasional | Berita HarianTERKINI: PH-BN kuasai undi usia 41 tahun ke atas, PN kuasai 40 tahun ke bawah | Berita Harian
Isnin, 13 Mei 2024 | 11:43am
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao (kanan) diumumkan sebagai pemenang PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Sabtu lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao (kanan) diumumkan sebagai pemenang PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada Sabtu lalu. - NSTP/Saifullizan Tamadi

TERKINI: PH-BN kuasai undi usia 41 tahun ke atas, PN kuasai 40 tahun ke bawah

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu, menyaksikan Perikatan Nasional (PN) masih menguasai sokongan pengundi Melayu.

Berdasarkan kajian Institut Darul Ehsan (IDE), PN memperoleh 56 peratus undi Melayu, berbanding 42 peratus oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir, berkata PH-BN bagaimanapun memperoleh peningkatan tiga peratus undi daripada kaum Melayu, berbanding pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

"Sokongan kaum Cina masih kekal kepada PH, manakala sokongan kaum India turut menunjukkan peningkatan sebanyak lapan peratus kepada gabungan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada Sabtu, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, itu memperoleh 14,000 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pada PRN tahun lalu, PH memperoleh 14,862 undi, dengan majoriti 4,119 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Selain itu, Khairul Arifin berkata, kajian itu turut mendapati blok undi terpisah dua, yang mana PH-BN menguasai undi bagi kategori pengundi berusia 41 tahun ke atas, manakala PN bagi 40 tahun ke bawah.

"Gabungan Kerajaan Perpaduan perlu merancang strategi untuk (menarik undi) anak muda," katanya.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi bagi PRK berkenaan menyaksikan anak muda menjadi antara golongan yang terendah, iaitu kurang 55 peratus.

Peratusan turun mengundi terendah berdasarkan usia adalah antara 18 dan 24 tahun, iaitu kira-kira 53 peratus, manakala yang paling ramai turun mengundi adalah yang berusia 41 tahun ke atas, iaitu melebihi 60 peratus.

Khairul Arifin berkata, secara keseluruhan, peratusan turun mengundi dalam PRK Kuala Kubu Bharu adalah 61.5 peratus, berbanding 76.9 peratus, yang tertinggi pernah dicatatkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Peratusan turun mengundi bagi kaum Melayu dan Cina adalah kira-kira 63 peratus, manakala India, kira-kira 57 peratus.

"Sentimen selain PRU, menyebabkan pengundi muda dan pengundi yang tidak lagi mempunyai orang tua atau ibu bapa di Kuala Kubu Bharu, majoritinya tidak teruja untuk turun mengundi.

"Seramai 38.5 peratus memilih untuk tidak mengundi, iatu seramai 15,480 pengundi.

"Usaha masih perlu dipergiat untuk memberi kesedaran supaya turun mengundi," katanya.