Strategi banteras rasuah Malaysia masih kabur



Strategi banteras rasuah Malaysia masih kabur
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan Abdullah
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
12 Mei 2024, 7:31 am

Mukadimah

STRATEGI Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028 yang mengganti Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada Selasa lalu, menyaksikan usaha membasmi rasuah sebenarnya masih berterusan. Ini kerana, ada yang menganggap tahap integriti kita ibarat ‘ayam diasak malam’ (tiada daya upaya lagi).

NACS yang memperkenal lima strategi baharu iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif dengan 54 sub strategi, diyakini mencapai sasaran utama membanteras rasuah. Bagaimanapun, pertubuhan sivil bimbang apabila strategi hanya tinggal strategi.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), DR. MUHAMMAD MOHAN mengakui hala tuju mencapai keberkesanan NACS masih kabur, tiada perincian pelan operasi, malah lebih ringkas berbanding pelan anti rasuah terdahulu.

Ikuti wawancaranya bersama Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dibantu jurugambar, FARIZ RUSADIO di ibu pejabat TI-Malaysia di Kelana Jaya, Rabu lalu.

GAGAL CAPAI MATLAMAT
MINGGUAN MALAYSIA: NACP didakwa gagal mencapai matlamatnya. Dengan pelancaran strategi baharu melalui NACS, apa yang Dr. boleh simpulkan?
MUHAMMAD MOHAN: Bagi saya, kandungan NACS lebih ringkas berbanding NACP yang lebih terperinci. Namun, sebab ia dikatakan strategi, tetapi, dokumen ini tiada perincian bagaimana negara mahu mencapainya?


Contohnya, strategi 2 tentang kebertanggungjawaban awam yang mana kerajaan memperkenalkan akta perolehan. Perkara ini tiada perincian. Siapakah agensi penerajunya? Kementerian Kewangan. Jadi, kementerian ini mesti ada pelan bila mahu laksanakan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) pula kena buat rang undang-undang (RUU), bila mahu edar kepada agensi, ke Kabinet dan Parlimen. Itu sebabnya mengapa kita perlu ada papan pemuka (dashboard) atau namanya pelan operasi di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tetapi, NACS ini sekadar strategi.

KERJA YANG SUSAH BELUM BERMULA
Apa maksud Dr. tentang dashboard?
Akan ada satu pelan untuk menjelaskan dan memastikan setiap strategi ini berjaya. Dashboard ini diletak di bawah SPRM dan boleh diakses oleh orang awam. Maknanya, rakyat akan membuat carian di internet. Kesemua maklumat atau data dimasukkan oleh pihak-pihak terlibat (kementerian, jabatan dan agensi), manakala SPRM bertindak sebagai ‘penjaga’ dan pemantau setiap strategi tersebut.

SPRM pula akan melaporkannya melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang mana Pengerusinya ialah Perdana Menteri. Jadi, kesemua kementerian, jabatan dan agensi peneraju ini mesti melaporkan kepada SPRM melalui dashboard.

Suruhanjaya ini mempunyai peranan besar dalam memastikan kesemua agensi melaksanakan inisiatif masing-masing. Lihatlah, kelmarin negara baru sahaja melancarkan NACS dan hakikatnya, pelaksanaannya belum bermula pun. Kerja yang sukar sebenarnya adalah di peringkat pelaksanaan.

Boleh terangkan lagi?
Contohnya, strategi 1 mengenai pendidikan iaitu kerajaan mempertingkatkan kegiatan mengenai etika, nilai-nilai murni dan anti rasuah di prasekolah dengan bantuan institusi latihan perguruan. Agensinya adalah Kementerian Pendidikan (KPM) bukannya SPRM. Maka, KPM kena ambil inisiatif sendiri melaksana pelan operasi.

Jika inisiatif ini dilakukan, adakah melibatkan semua sekolah di seluruh negara secara serentak atau tidak? Jika serentak, kena ada program dan dimasukkan di dalam silibus. Ini sudah pasti memakan kos perbelanjaan sangat besar. Jika tidak dilaksanakan, lihatlah apa yang berlaku pada NACP sebelum ini?

Pastikan setiap kali ada perkembangan di tahap tertentu, ia direkod dan dipapar melalui dashboard. Tidak bolehlah sewenang-wenangnya kata itu ini tidak boleh dibuat lah atas alasan perlembagaan mesti dipinda lah. Tetapi, perkara lain yang lebih mudah dahulu mengapa tidak dilakukan supaya ada kemajuan?

Kami difahamkan NACP sudah selesai 77 peratus dan minta laporan keberkesanannya ada atau tidak? Mesti ada. Kalau tidak ada, bagaimana kami mahu percaya? Kata orang, ‘tandakan di dalam kotak’. Maknanya, ada senarai lengkap dan tandakan mana yang sudah selesai.

Syor saya, Ketua Audit Negara (KAN) perlu terlibat dalam pengauditan ini. Jika kerajaan dakwa 70 peratus strategi sudah berjaya, apa buktinya? Kesemua kementerian perlu tunjukkan apa yang sudah dilaksanakan. Jika tidak, tidak mustahil pelan hanya tinggal pelan sahaja.

Kerja yang susah belum pun bermula dan kerja paling mudah adalah terbitkan buku strategi dan lancarkan. Sebab itu, berulang kali saya sebut, kena ada pelan operasi. Memanglah buku ini bukan berniat mahu beri anda semua perincian, tetapi, bagaimana SPRM tahu setiap pelaksanaan di peringkat kementerian?



Adakah Dr. bermaksud kerajaan tidak menyediakan pelan operasi ketika ini?
Saya tidak bercakap begitu. Saya lebih selesa menyatakan belum lagi. Sebab itu, cadangan saya, dalam tempoh enam bulan ke hadapan, setiap agensi kena tunjuk langkah yang sudah diambil. Apa petunjuk prestasi utama (KPI)? Apa peristiwa penting (milestone)?

Pihak lain tidak boleh menuding jari menyalahkan SPRM jika ada kementerian tidak melaksanakan tanggungjawab. Jadi, saya berharap semua agensi memberi kerjasama. Menunjukkan strategi dalam NACS sahaja bukan kaedah yang baik untuk ketelusan.

Apa kurangnya NACS ini?
Saya kecewa kerana ada isu tidak dimasukkan, antaranya inisiatif pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dengan Peguam Negara. Hanya dinyatakan di halaman 59 nombor 5 iaitu bagi memastikan pengasingan kuasa yang jelas dan memartabatkan keadilan, iaitu kuasa Pendakwa Raya hendaklah diasingkan daripada kuasa Peguam Negara.

Namun, walaupun ia dikeluarkan daripada NACP sebelum ini, tetapi, status pelaksanaannya diteruskan dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan yang lain di peringkat kebangsaan. Maknanya, walaupun tiada dalam dokumen NACS, tetapi, kerajaan akan menggunakan saluran lain dan saya berharap perkara ini akan dibawa ke peringkat kementerian undang-undang.

Apa maksudnya ‘jawatankuasa kerajaan yang lain’?
Contohnya, BHEUU di bawah Jabatan Perdana Menteri akan melaksanakan tugas ini. Jadi, tanggungjawab dan beban tugas terletak kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Peguam Negara bukan SPRM.

GAJI NAIK TAK KURANGKAN RASUAH
Dr. puas hati dengan NACS?
Secara keseluruhannya, saya puas hati, cuma saya kecewa dengan perkara tidak dimasukkan yang saya sebut. Namun, sebagai individu yang terlibat dalam pembentukan strategi ini, banyak input yang kami beri melalui kursus dan bengkel sebelum ini turut dimasukkan. Contohnya, NGO yang terlibat mendapat pelepasan cukai, manakala pemupukan nilai-nilai murni dan membanteras rasuah di peringkat awal persekolahan.

Ini kerana, jika dilakukan di peringkat universiti atau tempat kerja sudah terlambat. Ada juga yang tanya, dengan kenaikan gaji penjawat awam apakah ia akan mengurangkan isu rasuah? Tidak. Benar ia membantu dalam aspek kos sara hidup, tetapi, sudah namanya manusia, apabila tamak haloba, maka akan menggunakan jalan pintas dan haram untuk hidup senang.

BANYAK YANG BELUM DIBUAT KERAJAAN
Adakah kerajaan menuruti syor-syor itu?
Tidak. Banyak yang belum dilaksanakan. Contohnya pengenalan akta berkaitan pendanaan politik, akta perlindungan pemberi maklumat, pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Sebenarnya, CPI bukan sahaja mengukur berapa ramai yang ditangkap, didakwa atau dijatuhi hukuman. Ada banyak lagi dimensi yang diketengahkan antaranya kebebasan bersuara, kebebasan media, isu pemerdagangan manusia, iltizam politik untuk berubah dan lain-lain.

Adakah kerajaan tertentu sahaja yang tidak mengikuti syor tersebut?
Bukan Kerajaan Perpaduan sahaja, malah, kerajaan sebelum ini pun sama sahaja kerana tiada iltizam politik. Berdasarkan pengalaman saya berurusan dengan beberapa Kabinet terdahulu, hampir kesemunya apabila kami menyatakan keperluan akta berkaitan pendanaan politik, mereka bimbang.

Ada parti politik risau jika tidak mendapat sumbangan daripada ahli perniagaan. Sekarang banyak yang menentang usaha pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, tetapi, bagi kami, terdapat kepentingan konflik dalam isu ini dan iltizam kerajaan, parti dan ahli politik untuk berubah.

Namun, saya maklum, Azalina sedang mencuba sedaya upaya untuk merealisasi perkara ini. Syaratnya, perlu ada kehendak politik untuk berubah. Kami faham kerajaan semasa adalah kerajaan campuran, jadi, membuat perubahan itu memerlukan perbincangan dan konsensus.

TI-MALAYSIA
Boleh kongsi perkembangan terkini dan gerak kerja TI-Malaysia sebagai badan melawan korupsi dan penuntut reformasi perundangan?
Transparency International (TI) sudah berada di Malaysia lebih 25 tahun dan didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sama seperti parti politik. Walaupun bergelar NGO, kami berhubungan dengan TI yang beribu pejabat di Berlin. Jumlah TI adalah 100 di seluruh dunia dan setiap tahun, TI akan mengeluarkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Sumber kewangan kami adalah yuran ahli dan melalui pelaksanaan pelbagai projek setiap tahun. Sumbangan organisasi tempatan dan antarabangsa juga sedikit sebanyak membantu kami menjalankan aktiviti. Namun, kami tiada teras pembiayaan daripada sesuatu entiti khususnya kerajaan.

TI-Malaysia mempunyai jalinan hubungan baik dengan SPRM untuk melaksanakan projek tertentu secara bersama, contohnya korporat liabiliti yang dilaksanakan di beberapa negeri. Selain itu, kami bebas bersuara dan tidak menerima dana daripada kerajaan. Jika ada pun dana diterima hanyalah untuk projek tertentu seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang memberi dana untuk tujuan penghasilan video, buku dan sebagainya.



Kami tidak mengalakkan penerimaan dana untuk menjalankan aktiviti kami kerana tidak mahu kebebasan bersuara itu terhad. Seandainya kerajaan melakukan sesuatu tindakan atau dasar yang tidak sehaluan dengan kami atau rakyat, maka kami boleh bersuara. TI-Malaysia akan bersuara jika ada sesuatu dasar kerajaan laksanakan tidak sesuai, contohnya akta berkaitan pendanaan politik yang sudah memakan masa bertahun-tahun hingga hari ini pun tidak selesai.

Seberapa besar pengaruh yang ada pada TI-Malaysia untuk ‘menundukkan’ kerajaan melalui syornya?
Kerajaan meletakkan CPI sebagai KPI penting mereka. Semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, gabungan ini juga menggunakan CPI sebagai KPI sekitar 2013-2014. Selepas itu, BN senyap dan kembali di bawah Kerajaan Perpaduan.

Persoalannya, jika ada syor kami beri namun tidak dilaksanakan kerajaan, maka, akhirnya, hasrat kerajaan mencapai sasaran tidak terlaksana. Menjadi tugas kami menegur, menasihat, mengesyorkan dan mengingatkan kerajaan melalui CPI yang akan diumumkan pada Januari setiap tahun.

Ketika mengumumkan CPI 2023 pada Januari lalu, apa maksud Dr. bahawa Malaysia menuju ke ‘arah yang salah’ dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam?

Dari segi skor, Malaysia naik ke tangga 50 berbanding 47. Semakin bagus. Tetapi, perlu ingat, dalam skor CPI ini ada yang tertinggal (lagging) kira-kira dua tahun. Maknanya, apa yang dilakukan pada tahun ini tidak semestinya terus mendapat keputusannya melalui CPI.

Contohnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disabitkan bersalah dan dipenjarakan, maka ia dianggap sebagai positif sekali gus, institusi perundangan dan kehakiman negara dilihat bebas tanpa pengaruh eksekutif. Ini adalah persepsi yang mendorong kenaikan skor CPI.

Namun, tahun hadapan, kita tidak tahu di mana arahnya walaupun ada usaha dibuat, tetapi, mungkin akan turun disebabkan beberapa isu yang berlaku pada tahun lalu. Contohnya, kes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan di mahkamah.

Selepas itu, isu pengampunan Najib oleh Lembaga Pengampunan. Isu-isu seperti ini boleh memberi kesan negatif. Ini sebabnya saya kata mengapa Malaysia menuju ke arah yang salah. Banyak syor TI beri sebelum ini tidak dilaksanakan, jadi bagaimana mahu skor ini menaik?

Jadi, ketirisan yang berlaku terutama dalam bahagian perkhidmatan awam yang boleh dirujuk dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) setiap tahun, menyaksikan berlaku ketirisan jutaan ringgit wang. Ada projek gagal siap tetapi sudah dibayar, beli perisian tetapi tidak berfungsi, projek gajah putih dan reformasi undang-undang. Ini sebabnya mengapa skor CPI itu boleh menurun atau menaik.

HANYA BERI TIGA MARKAH
Setakat skala berapa reformasi perundangan negara?
Jika saya diberi skala dari satu hingga 10, saya hanya boleh beri tiga. Masih rendah. Gagal. Belum apa-apa lagi pun. Ramai yang tanya, mengapa NGO ini asyik kritik sahaja? Berilah pujian sedikit.

Masalahnya, saya mahu puji bagaimana? Anda (kerajaan) tiada apa-apa hasil yang dibuktikan berdasarkan syor kami, bagaimana mahu saya puji? Sebab itu, kerajaan mesti laksanakan mana strategi dan inisiatif yang mudah dahulu. Sekarang sudah hampir masuk separuh tahun pertama, berapa banyak lagi baki masa yang kita ada?

KEBEBASAN MEDIA
Apa pendapat Dr. tentang kedudukan Malaysia yang berada pada tangga ke-107 daripada tangga ke-73 dalam Indeks Kebebasan Media 2024 oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF)? Kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kedudukan negara tidak terlalu teruk jika dibanding tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun menteri kata tidak teruk, tetapi, kerajaan mesti menyemak semula di mana puncanya. Perkara ini membimbangkan. Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan juga menjadi persoalan siapa yang menjadi anggotanya? Jika dimasukkan orang kerajaan apa gunanya? Saya berharap penubuhan majlis ini dijalankan secara bebas.

Kita juga mesti ada perubahan dalam undang-undang berkaitan media seperti pemansuhan dan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kerajaan mesti memberi kebebasan pada media untuk melaporkan, terutama berhubung ketirisan, salah guna kuasa oleh ahli politik. Saya difahamkan akta perlindungan pemberi maklumat akan dibentang Oktober ini, tetapi perkara ini harus dipinda selari dengan akta-akta berkaitan supaya tiada undang-undang yang bercanggah. – Mingguan Malaysia

Ulasan