KIRA-kira sebulan hanya fokus kepada latihan dan memperkemas kelemahan, beregu wanita utama negara, M Thinaah-Pearly Tan mahu menjadikan kejohanan Masters Malaysia sebagai medan terbaik mengukur sejauh keyakinan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai hingga Ogos depan.

Menurut Thinaah, selepas hampir sebulan tidak beraksi di mana-mana kejohanan, rasa teruja itu hadir dalam dirinya dan pasangan.

“Masters Malaysia akan kami gunakan untuk membina keyakinan dan momentum untuk Olimpik Paris. Setiap permainan yang kami harungi adalah untuk digunakan bagi temasya berkenaan,” katanya.

Kejohanan terakhir disertai pasangan nombor 14 dunia itu, adalah Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bulan lalu.

Di kejohanan berkenaan, mereka ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama apabila tumpas kepada wakil Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara apabila kalah 21-19, 13-21, 16-21.

Keputusan pada kejohanan Master Malaysia bakal menjadi kayu ukur, sejauhmana gandingan Pearly Tan-M Thinaah berkembang sebelum ke Olimpik Paris.

Pencapaian terbaik wakil tunggal beregu wanita negara di Paris itu sepanjang tahun ini, mara ke suku akhir Masters Indonesia dan Seluruh England.

Mereka yang tidak menyertai skuad Piala Uber baru-baru ini, dijadualkan menentang pasangan Thailand Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad di pusingan pertama Masters Malaysia.

“Sudah lama kami tidak bermain (menyertai kejohanan), kami berasa teruja kerana ia akan berlangsung di laman sendiri. Banyak perkara yang akan kami fokuskan bagi kejohanan ini,” kata pemain kelahiran Selangor itu.

Ujar Thinaah, aksi di kejohanan bertaraf Super 500 itu juga, menjadi medan terbaik memperbaiki komunikasi dalam gelanggang dan menguatkan lagi dari aspek sokongan antara satu sama lain.

Masters Malaysia yang bakal membuka tirai Selasa ini di Axiata Arena juga platform terbaik buat Pearly-Thinaah memperbaiki ranking sekali gus memperoleh undian lebih mudah di Paris 2024.