BERNAMA - DUA GOL PENANG FC BATAL, AKUR SERI 0-0 DENGAN TERANGGANU
 SUKAN

DUA GOL PENANG FC BATAL, AKUR SERI 0-0 DENGAN TERANGGANU

19/05/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Hasrat Penang FC untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertamanya di laman sendiri tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 menentang Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang malam ini.

Tuan rumah dilihat mengawal permainan pada babak pertama perlawanan menerusi beberapa percubaan membolosi pintu gawang pasukan lawan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Terengganu FC hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-38 apabila pemain tengah Manual Gelito Ott berjaya merembat masuk gol namun dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Bersambung di babak kedua, anak kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli terus menggandakan serangan hampir berjaya meletakkan tuan rumah di depan tetapi jaringan Mohammad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-68 pula dibatalkan pengadil selepas semakan dibuat menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Cubaan pada minit akhir Penang FC untuk mendapatkan gol gagal dan keputusan kekal seri tanpa jaringan hingga tamat wisel perlawanan sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan sekadar mengutip satu mata.

Di Kuching, tuan rumah Kuching City FC gagal mengutip mata penuh pertama musim ini apabila seri 2-2 dengan Sri Pahang di Stadium Negeri.

Sejak dari awal permainan, anak buah kendalian Aidil Sharin mengatur serangan bertali arus tanpa henti sebelum penyerang utama  Tchetche Kipre memanfaatkan peluang menerusi situasi kelam-kabut dalam kotak penalti untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-18.

Sebelum tamat separuh masa pertama, bekas penyerang Terengganu, Jordan Mintah, tenang menanduk bola hantaran lintang pemain sayap untuk Kuching City selesa berada di depan 2-0 selepas 45 minit pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah yang agresif bagaimanapun gagal mengekalkan kelebihan apabila Sri Pahang merapatkan jurang selepas Adam Nor Azlin meledak jaringan pada minit ke-63. 

Jaringan berkenaan nyata memberi tonik kepada pemain import Sri Pahang, Manuel Federico Hidalgo Gasparini bagi  mencetak gol penyamaan pada minit ke-76 dan keputusan kekal hingga tamat permainan.

Keputusan kedua perlawanan malam ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga keempat dengan empat mata keseluruhan di belakang Sabah FC  manakala Terengganu menduduki tangga kedua dengan kelebihan jaringan dengan jumlah mata yang sama.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial