Dokumentasi taja hak siaran langsung Euro 2024 siap, sedia bentangkan kepada RTM | Harian Metro
TROFI yang akan direbut oleh 24 pasukan pada kejohanan Euro 2024. FOTO Agensi
TROFI yang akan direbut oleh 24 pasukan pada kejohanan Euro 2024. FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Impian jutaan rakyat Malaysia untuk menyaksikan aksi terulung saingan bola sepak Eropah semakin hampir apabila syarikat gergasi tempatan sudah menyiapkan dokumentasi diperlukan untuk menaja hak siaran langsung itu.

Menurut wakil syarikat konglomerat terbesar negara itu, bahang saingan Piala Eropah 2024 atau Euro 2024 yang akan berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai depan semakin hampir direalisasikan bagi membolehkan rakyat negara ini menontonya secara percuma.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan dokumen lengkap dan surat tunjuk minat kepada pihak Kementerian Komunikasi Malaysia dan juga Radio Televisyen Malaysia (RTM) tentang hasrat menaja siaran langsung perlawanan Euro 2024 itu pada hari Isnin ini.

Jelasnya lagi, pihaknya bersedia menanggung kesemua kos hak penyiaran itu tanpa perlu membelanjakan duit rakyat.

"Kita tahu kerajaan sekarang adalah Kerajaan Madani yang cukup prihatin tentang rakyat. Jadi kami ingin bersama-sama membantu kerajaan dalam memenuhi hasrat seluruh peminat bola sepak diserata negara yang mahu menonton Euro 2024 secara percuma.

"Syarikat kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi media mengenai hasrat kami menaja sepenuhnya untuk Euro ini sebagai penaja utama.

"Malah, hari ini sudah diadakan mesyuarat dalaman dan semua dokumen sudah disediakan dan akan diserahkan kepada RTM dalam masa terdekat. Selewat-lewatnya esok atau Isnin ini akan dikeluarkan kenyataan rasmi dan kami akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Semalam, menerusi laporan meluas akhbar dan portal media tempatan, difahamkan beberapa syarikat gergasi negara difahamkan cukup berminat dan bersedia untuk menaja sepenuhnya siaran langsung Euro 2024 itu bagi memastikan rakyat Malaysia menontonnya secara percuma.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersedia mempertimbangkan untuk mendapatkan hak siaran Euro namun beliau perlu merujuk terlebih dulu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung perkara itu.

Beliau mengakui kejohanan berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri, namun penelitian secara mendalam perlu dilakukan terutamanya kerana ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Saingan Euro 2024 dijangka berlansgung sengit membabitkan 24 pasukan bertanding termasuk juara bertahan Itali akan mempertahakna mahkota kejuaraan dimenangi edisi lalu.

Selain itu pasukan bertaraf bintang England, Perancis, Belanda, Belgium dan banyak lagi pasukan handalan Eropah bakal mempertaruhkan bintang bola sepak masing-masing bagi memburu status sebagai Raja Eropah.

Sebanyak 42 aksi peringkat kumpulan dan 15 perlawanan pusingan kalah mati dengan membabitkan 57 aksi secara keseluruhan bakal disajikan pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:23 PM