MAPIM perlu RM1.3 juta bangunkan Kompleks Baitul Ridzuan

Mohd Azmi (tengah) bersama-sama orang ramai yang memberikan sumbangan sempena Pelancaran Dana Kobar di Kompleks Pendidikan Darul Ridzuan di Ipoh pada Jumaat.
Mohd Azmi (tengah) bersama-sama orang ramai yang memberikan sumbangan sempena Pelancaran Dana Kobar di Kompleks Pendidikan Darul Ridzuan di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sedang mengumpul dana RM1.3 juta bagi menyempurnakan pembinaan bangunan Kompleks Baitul Ridzuan (Kobar) di Manjoi di sini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini bangunan kompleks tersebut yang dibina empat tingkat itu telah pun siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini jika dana mencukupi.

Menurutnya, kompleks tersebut dibina bertujuan sebagai pusat komuniti setempat yang menjadi pelengkap kepada institusi masjid dan surau bagi kawasan Parlimen Tambun.

"Dana ini diperlukan untuk kita melengkapkan pendawaian, saliran air dan tandas awam. Kita nak lengkapkan setiap tingkat dengan beberapa kemudahan aktiviti seperti bilik seminar, bilik pengajian al-Quran, bilik latihan dan keusahawanan dan sebagainya.

"Uniknya projek ini kerana ia berada dalam komuniti orang Melayu di tengah-tengah bandar raya Ipoh. Ini boleh menjadi mercu tanda pusat masyarakat yang sangat aktif. Boleh juga jadi contoh dan penanda aras kepada kawasan Parlimen-Parlimen lain," katanya kepada Sinar Harian ketika melancarkan Dana Kobar di Kompleks Pendidikan Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Mohd Azmi berkata, sumbangan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi barang-barang keperluan seperti peralatan, perabot dan sebagainya turut dialu-alukan buat orang ramai yang ingin menyumbang.

Jelasnya, segala bentuk sumbangan boleh disalurkan terus ke kompleks berkenaan atau melalui akaun CIMB Bank MAPIM iaitu 8604556678.

Sementara itu Mohd Azmi menjelaskan Kobar akan berperanan sebagai pusat latihan pengurusan masjid dan surau dengan pelbagai bentuk kursus akan dilaksanakan di kompleks berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak hubungkan masjid dengan masyarakat secara berkesan sebab kita nampak hubungan itu tidak akrab. Jadi kina bina orientasi itu di sini kita akan bawa bawa contoh-contoh masjid terbaik di Malaysia itu di sini.

"Beberapa perancangan lain juga sedang diatur antaranya kita nak jadikan kompleks ini sebagai pusat pengedaran keperluan asnaf. Jadi dana akan datang dari sumbangan orang ramai," katanya.

Menurut Mohd Azmi, selain sumbangan daripada perseorangan, syarikat korporat dan swasta turut dialu-alukan untuk bersama-sama membantu merealisasikan pembinaan kompleks tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!