Susah cari makan di Singapura, Affan Ramlan intai peluang berlakon di Malaysia - Hiburan | mStar
suria

Susah cari makan di Singapura, Affan Ramlan intai peluang berlakon di Malaysia

Affan menyimpan hasrat untuk berlakon di Malaysia.

PELAKON Affan Ramlan menyimpan hasrat mengembangkan bakatnya dalam industri hiburan di Malaysia.

Kata Affan atau Nur Mustaffa Ramlan, 32, sebagai pelakon di Singapura, dia sukar untuk membina nama disebabkan pasaran artis Melayu lebih kecil.

"Di Singapura ini kalau nak fokus pada lakonan sahaja memang agak sukar.

"Kalau ikutkan rezeki untuk tampung kos hidup dalam bidang lakonan memang sangat susah. Pasaran untuk pelakon berbangsa Melayu memang kecil di sana.

affan2 - 1

Affan cuba mengintai peluang berlakon di Malaysia.

"Disebabkan itu pelakon di Singapura kebanyakannya mengembangkan bakat di Malaysia kerana pasaran di sini jauh lebih besar," katanya kepada mStar.

Bermula karier sejak 2014, Affan mengakui dia kini cuba untuk mengintai peluang berlakon di Malaysia.

Menurut Affan, dia sudah menyertai beberapa sesi uji bakat dengan pihak produksi tempatan dan tidak menolak untuk menetap di Kuala Lumpur sekiranya diberikan rezeki berlakon.

"Sebenarnya saya sudah berlakon di Singapura sejak 2014. Tapi industri hiburan di Singapura tidak seperti di Malaysia. Di Malaysia peluangnya lebih banyak kerana pasaran lebih besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Erma Fatima terima diboikot rakyat Singapura, mengaku silap keluar kenyataan ketika emosi

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak wajar lagakan Malaysia dan Singapura... Adi Putra bimbang industri hiburan tercalar, wujud sentimen kasta

"Buat masa ini, saya sedang cuba mengintai peluang dengan menyertai beberapa sesi uji bakat lakonan di Kuala Lumpur.

"Saya seorang yang adventurous dan suka mengambil risiko. Jadi kalau nampak apa sahaja peluang saya cenderung untuk mencuba," ujarnya.

Ditanya soal pandangan netizen terhadap artis Singapura yang sebelum ini pernah melakukan kesalahan di Malaysia, Affan mengakui dia berasa risau dengan penerimaan peminat.

Pun begitu, aktor berkenaan yakin dengan niat hanya untuk mencari rezeki, dia percaya segala urusannya akan dipermudah.

Kalau ikutkan rezeki untuk tampung kos hidup (Singapura) dalam bidang lakonan memang sangat susah.

AFFAN RAMLAN

PELAKON

"Kalau nak dengar banyak kes-kes yang berlaku melibatkan artis Singapura, saya tidak nafikan timbul juga perasaan risau.

"Namun kalau kita nak fikirkan perasaan risau itu, kita memang tidak akan ke mana-mana. Kenyataannya memang akan ada orang yang suka dan tidak suka kepada kita.

"Niat saya cuma satu, kalau kita fikirkan fasal rezeki, insya-Allah semuanya akan berjalan dengan lancar. Kita datang ke negara orang ini, kita kena hormat cara mereka," jelasnya.

Sementara itu, Affan turut menjadikan pelakon Datuk Aaron Aziz sebagai inspirasi untuk berhijrah ke Malaysia.

affan1 - 1

Affan menjadikan Aaron sebagai inspirasi untuk berhijrah ke Malaysia.

Kongsi Affan, dia sudah lama meminati bakat lakonan Aaron dan turut menyimpan impian untuk berlakon bersama aktor tersebut.

"Sebenarnya daripada kecil saya memang terinspirasi dengan pelakon dari Singapura sendiri iaitu Aaron Aziz.

"Saya nampak dia berlakon di Singapura lagi dan terus melangkah ke Malaysia. Itu menjadikan satu inspirasi untuk saya mengikut jejak langkahnya.

"Kalau diberi peluang, untuk berlakon bersama Aaron adalah satu impian saya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain