BERNAMA - ABANG JOHARI SARAN WUJUDKAN MEKANISME KAWAL INFLASI AGAR PEKERJA DAPAT MANFAAT PENUH KENAIKAN GAJI
 EKONOMI > BERITA

ABANG JOHARI SARAN WUJUDKAN MEKANISME KAWAL INFLASI AGAR PEKERJA DAPAT MANFAAT PENUH KENAIKAN GAJI

19/05/2024 03:35 PM

KUCHING, 19 Mei (Bernama) -- Satu mekanisme perlu diwujudkan bagi mengawal inflasi secara efektif untuk memastikan pekerja memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kenaikan gaji, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebarang kenaikan gaji untuk pekerja yang diumumkan kerajaan mahupun pihak swasta tidak akan bermakna sekiranya ia hanya membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

"Yang penting kalau gaji naik, bermakna penggunaan tempatan anda boleh naik. Ia akan merancakkan lagi ekonomi, tetapi hanya threatnya (ancamannya) ialah inflasi. Kita tidak mahu naik gaji, tapi dari segi kuasa beli masih sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program mencipta rekod Malaysia Book of Records untuk "Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi" di sini, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) agar kadar gaji minimum ditetapkan pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini.

Rafizi berkata secara dasarnya jelas bahawa pendekatan kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup adalah memberi tumpuan kepada meningkatkan pendapatan rakyat.

Abang Johari berharap kerajaan persekutuan khususnya Bank Negara dan Kementerian Kewangan mengambil kira implikasi peratusan kenaikan gaji kepada aliran wang dalam pasaran.

"Dasar ekonomi kita mesti seimbang dan pihak bank hendaklah memberi input kerana sebenarnya inflasi adalah permintaan mengatasi penawaran. Kalau anda naikkan faedah, aliran wang dalam pasaran akan kurang bermakna mahu tak mahu (bekalan) barang akan menurun," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak telah menjalankan kajian berhubung kenaikan gaji berdasarkan produktiviti yang memberi penekanan kepada kemahiran dan pembangunan tenaga kerja. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial