'Ibu buka akaun sejak kami kecil, mahu anaknya buat haji usia muda' | Nasional | Berita Harian'Ibu buka akaun sejak kami kecil, mahu anaknya buat haji usia muda' | Berita Harian
Sabtu, 18 Mei 2024 | 2:16pm
Mohd Farid Firdaus (dua kiri) bersama isteri, Isyarah (kiri sekali), Mohamad Fadzli (tiga dari kiri), Nurul Fitriyah (empat dari kiri) bersama suami Mohd Ridzuan (lima dari kiri), Mohd Aziza (enam kiri) bersama Nurul Adilah Farhana dan Nurul Syakila mengambil gambar berlatar belakangkan Masjid Al-Haram ketika baru sampai di Tanah Suci Makkah
Mohd Farid Firdaus (dua kiri) bersama isteri, Isyarah (kiri sekali), Mohamad Fadzli (tiga dari kiri), Nurul Fitriyah (empat dari kiri) bersama suami Mohd Ridzuan (lima dari kiri), Mohd Aziza (enam kiri) bersama Nurul Adilah Farhana dan Nurul Syakila mengambil gambar berlatar belakangkan Masjid Al-Haram ketika baru sampai di Tanah Suci Makkah

'Ibu buka akaun sejak kami kecil, mahu anaknya buat haji usia muda'

MAKKAH: "Walau apa pun terjadi ketika kamu menunaikan haji, ibu dan papa tetap reda," demikian menurut Nurul Adilah Farhana Abdul Wahab, ketika menceritakan kata-kata ibunya, Norani Muhammed Nor, seorang pesara Ketua Jururawat, yang mempunyai pengalaman mengerikan serta tragik ketika beliau mengerjakan haji pada 2015.

Nurul Adilah Farhana, 36, dari Kubang Kerian, Kelantan bersama empat beradik serta suami dan dua iparnya pergi bersama menunaikan haji di Makkah tahun ini.

Nurul Adilah Farhana, berkata ibu berpesan supaya dia dan adik-beradik menjaga diri, terus bersatu, jangan sekali-kali berpecah, sentiasa jalan bersama dan sentiasa berdoa kepada Allah, insyaAllah akan dimakbulkan segala doa ketika di Tanah Suci.

"Ibu dan papa (Abdul Wahab Mat Saad) sudah berkorban sebaik kami dilahirkan. Mereka membuka akaun Tabung Haji untuk kita semua sejak kecil. Walaupun gaji ibu dan papa tidak besar, tetapi mereka menabung secara konsisten, biarpun pernah bermula dengan RM20 sebulan," katanya sambil teresak-esak dan sebak apabila bercerita mengenai pengalaman ibu dan bapanya.

"Ibu mahukan kami pergi menunaikan haji bersama dan sekarang hajat ibu serta papa yang mahu semua anaknya menunaikan haji di usia muda termakbul hasil perancangan serta pengorbanan selama lebih 18 tahun.

"Mereka lepaskan tanggungjawab apabila kami semua menjangkau usia 18 tahun dan kami pula mengambilalih yang akan menyimpan sendiri ke dalam akaun Tabung Haji. Tidak kira simpanan daripada duit raya mahupun gaji dan sebagainya," katanya lagi kepada Petugas Media, di sini semalam.

Tahun ini, lima daripada enam anak bersama tiga menantu dapat menjejakkan kaki ke Mekah sebagai dhuyufurrahman biarpun ibu bapa mereka tidak dapat bersama-sama.

Selain Nurul Adilah sebagai anak sulung, turut sama menunaikan haji ialah anak kedua Mohd Farid Firdaus, 35, Nurul Fitriyah, 32, (ketiga), Mohamad Fadzli, 29 (keempat) dan Nurul Syakila, 27, Mohd Aziza Azhari, 36, (suami Nurul Adilah), Mohd Ridzuan Mohamed Senawi, 35, (suami Nurul Fitriyah) serta Isyarah Ibrahim, 36, (isteri Mohd Farid Firdaus).

Menurut Mohamad Fadzli, kedua ibu bapanya mahu mereka mengerjakan haji di usia muda supaya dapat melaksanakan ibadat dalam keadaan sihat.

"Walaupun kami berfikir untuk membawa ibu bapa bersama, tetapi ditolak oleh ibu kerana mereka sudah pergi dan kali ini biarlah mereka menjaga cucu-cucu seramai sembilan orang berumur setahun hingga lapan tahun di rumah dan seorang lagi adik bongsu Nurul Aisyah Zulaikha yang masih berumur 13 tahun," katanya lagi.

"Kami didaftarkan secara serentak pada tahun 2009 oleh ibu dan papa kami. Apabila berumur 18 tahun kami teruskan tabungan terbabit sehinggalah permohonan kami diterima serentak," katanya lagi.

Bagi Mohd Farid Firdaus, kehidupan mereka tidak semudah yang disangka walaupun kedua ibu bapanya bekerja.

"Dulu kami susah. Ibu pun bermula dari peringkat bawah, namun dia sanggup untuk membuat potongan gaji sikit demi sikit.

"Walaupun susah ibu tetap bertahan. Tapi itulah pengorbanan seorang ibu yang kita tidak tahu kesusahan ditanggung mereka sehingga tinggal beberapa ringgit sahaja. Dan atas pengorbanan mereka, kami dapat menunaikan haji secara serentak," ujarnya.

Beliau berkata, ibunya juga sentiasa menasihatkan mereka semua, apabila sudah ada anak maka mulalah menabung secara bulanan di Tabung Haji dan segera mendaftar apabila mereka berumur 18 tahun.