Daripada Budak Marine Parade Ke Pm: Perjalanan Hidup Sederhana Hasilkan Kejayaan , Berita Singapura - Beritaharian.sg
Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Daripada budak Marine Parade ke PM: Perjalanan hidup sederhana hasilkan kejayaan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Daripada budak Marine Parade ke PM: Perjalanan hidup sederhana hasilkan kejayaan

Perdana Menteri Lawrence Wong sifatkan diri ‘produk sistem S’pura’ yang beri peluang kepada siapa saja untuk cemerlang dan berjaya
May 19, 2024 | 05:30 AM



Membesar dalam keluarga yang sederhana dan mendapat pendidikan awal di sekolah dalam kawasan kejiranannya di Marine Parade, Perdana Menteri baru, Encik Lawrence Wong, boleh dianggap sebagai anak muda biasa. 

Minat pada muzik sejak kecil dan gemar bermain gitar, Encik Wong membuktikan yang sesiapa sahaja di negara ini boleh cemerlang apabila diberi peluang dan kesempatan yang tepat. 

Dalam satu temu ramah baru-baru ini, pemimpin berusia 51 tahun itu menyifatkan dirinya sebagai ‘produk sistem Singapura’. 

Perjalanan hidup Encik Wong boleh dianggap sederhana dan serupa kebanyakan anak muda di negara ini. 

Anak bongsu dua beradik itu dibesarkan di flat di estet perumahan Marine Parade dalam keluarga yang dianggapnya sebagai keluarga biasa, dan bersekolah dari peringkat tadika hingga menengah di kejiranan itu juga. 

Beliau pernah berkongsi bahawa ibu bapanya banyak memberi kesan dalam kehidupannya. 

Bapanya – yang berasal dari Pulau Hainan dan datang ke Malaysia sebelum berpindah ke Singapura untuk bertugas dalam bidang penjualan – adalah orang pertama yang memupuk rasa cinta terhadap muzik dalam dirinya. 

Ibunya pula seorang guru di Sekolah Rendah Haig Boys. 

Laluan pendidikan Encik Wong bermula dari sekolah tadika Yayasan Masyarakat PAP (PCF) di Marine Parade sebelum beliau beralih ke sekolah ibunya. 

Walaupun beliau layak ke Institusi Raffles, Encik Wong memilih untuk menuntut di Sekolah Menengah Teknikal Tanjong Katong kerana lebih dekat dengan rumahnya dan rakan-rakannya. 

Setelah tamat persekolahan di Maktab Rendah Victoria, Encik Wong melanjutkan pelajarannya dan memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang ekonomi dari Universiti Wisconsin-Madison dan Universiti Michigan-Ann Arbor. 

Beliau kemudian melanjutkan pengajiannya dan menerima ijazah sarjana dalam pentadbiran awam dari Sekolah Harvard Kennedy.

Sebelum menceburi politik, kerjaya Encik Wong bertapak dalam bidang perkhidmatan awam selama 14 tahun, apabila beliau menjadi pakar ekonomi di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan pada 1997. 

Setelah itu, beliau memegang pelbagai peranan di kementerian kesihatan dan kewangan serta menjadi setiausaha sulit utama kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2005. 

Encik Wong, yang berumah tangga dengan Cik Loo Tze Lui, kemudian melangkah ke dunia politik pada 2011 apabila beliau bertanding dalam pilihan raya sebagai sebahagian daripada pasukan GRC West Coast. 

Merenung semula laluan kehidupan dan pencapaiannya apabila ditanya media mengenai tanggapan bahawa beliau adalah cerminan sistem dan kompak sosial Singapura, Encik Wong berkata: 

“Saya adalah produk sistem Singapura.

“Kompak sosial ini adalah inti pati dalam Kisah Singapura. Ia adalah mengenai siapa diri kita dan jenis masyarakat yang kita mahu jadi.

“Dan saya percaya semua warga Singapura mahukan Singapura menjadi sebuah negara yang menyediakan peluang kepada semua orang untuk cemerlang, berjaya, memaksimumkan potensi dan menjadi versi diri yang terbaik,” kata Encik Wong.

Namun beliau berkata bahawa setiap daripada kita berbeza. 

“Kita semua memiliki keupayaan dan kekuatan yang berlainan. Kita belajar pada rentak berbeza. Mengakui hal ini, saya fikir dalam mengejar mimpi kita, ia bukanlah dengan membandingkan satu sama lain dan berakhir dalam satu perlumbaan.

“Tetapi ia adalah dengan benar-benar memahami apa kekuatan kita, apakah laluan yang setiap daripada kita akan pilih dan pada akhirnya mendakap pelbagai laluan kejayaan yang berbeza-beza ini,” ujar beliau lagi. 

Untuk mencapai ini, Encik Wong menekankan bahawa kita memerlukan satu sistem dan masyarakat yang menghormati setiap pekerjaan dengan gaji yang saksama.

Pada masa sama, menurutnya, sebahagian daripada kompak sosial ini adalah untuk mempunyai satu sistem yang memberi jaminan dan keselamatan agar setiap warga mendapat akses kepada asas kehidupan – tidak kira dari segi perumahan, pendidikan dan persaraan. 

“Jaminan serta sokongan (agar setiap warga mendapatkan akses kepada asas kehidupan) harus disediakan bukan hanya oleh pemerintah sahaja, bahkan disediakan oleh kita semua dalam masyarakat agar kita mempunyai rasa kebertanggungjawaban bersama, terhadap satu sama lain dan kita boleh menjadi masyarakat yang lebih baik budi, pemurah dan berjiwa besar,” ujar Encik Wong. 

Ciri-ciri ini, ujar beliau, disertakan dan akan diusahakan dalam laporan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore, dalam usahanya untuk memperkukuhkan kompak sosial Singapura.


Mengenai harapannya bagi generasi muda Singapura, Encik Wong berkata bahawa kita telah melangkah jauh sebagai sebuah negara sejak 60 tahun lalu. Bahkan, kita telah mengatasi dan mengharungi hambatan untuk “mengecapi keajaiban bernama Singapura”.

“Kini, kita dalam fasa baru dalam pembangunan Singapura. Tetapi sebenarnya, bab terbaik dalam Kisah Singapura belum lagi tertulis. 

“Dan kita semua, khususnya generasi muda, akan menjadi penulis dalam bab seterusnya,” kata beliau. 

Perdana Menteri Wong juga menaruh harapan besar tentang masa depan Singapura kerana lebih ramai generasi muda yang ditemui kini mempunyai jati diri negara yang semakin meningkat, dan ini terserlah semasa pandemik Covid-19. 

“Mereka yakin tentang diri mereka dan bangga menjadi warga Singapura. Dan tentunya anda melihat ini sejak beberapa tahun lalu apabila kita menangani Covid-19 bersama.

“Generasi muda Singapura memberi respons kepada sekatan ketat yang kita terpaksa kenakan tetapi juga memainkan peranan mereka untuk membantu rakan senegara.”

Tambahnya, mereka tidak lagi mahu mengejar 5C sahaja – iaitu impian lama Singapura yang termasuk mengejar kondominium dan kad kredit.


“Anak muda Singapura mahu hidup yang senang, tetapi kehidupan senang yang tidak hanya diukur dari segi metrik sempit berdasarkan kejayaan material. Mereka mencari makna, kepuasan dan tujuan.

“Saya fikir ini adalah aspirasi yang mulia. Dan pastinya kami akan memainkan peranan sebagai pemerintah untuk menyokong aspirasi ini dan membantu anak muda Singapura mencapainya,” jelas Encik Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >