Kawalan keselamatan balai polis, sempadan seluruh negara dipertingkat | Nasional | Berita HarianKawalan keselamatan balai polis, sempadan seluruh negara dipertingkat | Berita Harian
Sabtu, 18 Mei 2024 | 5:47pm
Balai Polis Ulu Tiram yang menjadi lokasi kejadian serangan pada awal pagi semalam. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Balai Polis Ulu Tiram yang menjadi lokasi kejadian serangan pada awal pagi semalam. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Kawalan keselamatan balai polis, sempadan seluruh negara dipertingkat

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di balai polis seluruh negara terus dipertingkatkan dan sistem pertahanan sedia ada akan diperkemas, susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi semalam, yang menyaksikan tiga maut termasuk dua anggota polis.

Di Selangor, Ketua Polis negeri, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pegawai dan anggota di lapangan juga kini berada pada tahap kewaspadaan tinggi, terutama mereka yang bekerja syif luar waktu pejabat.

"Kawalan di balai-balai polis memang sentiasa dilaksanakan dan ada prosedur kawalan keselamatan. Cuma kadang-kadang, kewaspadaan berkemungkinan kurang sebab kita hendak mewujudkan suasana mesra pelanggan.

"Selepas ini, kita akan memperketat dan memperkemaskan lagi pemeriksaan untuk sesiapa yang masuk ke balai, terutama pada waktu malam," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Walaupun langkah itu berkemungkinan akan mendatangkan kesulitan kepada orang awam yang berurusan di balai polis selepas waktu pejabat, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan suasana mesra pelanggan tetap diterapkan tetapi pada masa sama memastikan keselamatan anggota dan pegawai bertugas terjamin.

Di Kelantan, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata semua 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), 57 balai polis dan 27 pondok polis di negeri itu sudah diarah memperkemaskan sistem pertahanan sedia ada bagi memastikan kesiapsiagaan anggota.

"Persekitaran balai dan pondok polis, termasuk di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, juga akan dipertingkatkan tahap kesiapsiagaan," katanya.

Beliau berkata, ia termasuk sistem pencahayaan lebih terang agar mudah mengawasi sebarang pergerakan mencurigakan, selain memastikan Kompleks Perumahan Polis di negeri itu sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Di Kedah, Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh, berkata tahap keselamatan anggota serta pegawainya adalah antara penekanan dititikberatkan sejak beliau mula menggalas tugas kini pada Jun tahun lalu.

"Penekanan keselamatan ini termasuk terhadap individu dan tempat mereka bertugas.

"Anggota baharu juga memang sudah sedia diberikan latihan ketika awal kemasukan mereka dahulu, namun kita mantapkan lagi latihan mereka supaya tahu apa yang perlu dibuat sekiranya berdepan situasi membahayakan keselamatan mereka," katanya.

Beliau berkata, tahap keselamatan di sempadan juga diberi penekanan, termasuk oleh agensi-agensi penguat kuasa lain, bagi memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti jenayah.

Di Sarawak, semua ketua jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan ketua polis daerah diarah meningkatkan lagi kawalan keselamatan serta pertahanan di balai-balai polis seluruh negeri itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata mereka turut diminta merancang pelan kawalan keselamatan yang lebih teliti.

"Saya juga sudah meminta mereka memantau elemen-elemen yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas di kawasan masing-masing," katanya kepada Bernama.

Di Lahad Datu, Sabah, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos, berkata tiada ancaman keselamatan dikesan pada masa ini di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

"Sempadan kita di kawasan Timur (Sabah) selamat dan dalam situasi yang baik," katanya. – BERNAMA