Op Samseng Jalanan: 6 ditahan, 36 kereta disita | Harian Metro
ANTARA yang ditahan  dalam Op Samseng Jalanan di  kawasan Lebuh Medini Utama. FOTO Ihsan polis
ANTARA yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuh Medini Utama. FOTO Ihsan polis
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri : Polis menahan enam lelaki termasuk dua warga asing dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar kawasan Lebuh Medini Utama di sini, antara jam 11 malam hingga 5 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima maklumat berhubung kegiatan kumpulan kereta yang melakukan aktiviti lumba haram.

"Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, lokasi ini dikenal pasti sebagai 'hot spot' kumpulan kereta berkumpul dan melakukan aktiviti lumba haram dengan aksi 'drag' pada malam minggu.

"Aktiviti ini mendatangkan persepsi tidak baik dan mengganggu ketenteraman awam masyarakat sekitar, dengan bunyi bising dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan dua lelaki warga asing dan empat lelaki warga tempatan yang berusia antara 17 hingga 27 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, enam kereta turut disita di bawah seksyen berkenaan, manakala 30 kereta disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 untuk tindakan lanjut.

"Sebanyak 48 keping saman Pol.257 juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik," katanya.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri dengan kekuatan dua pegawai dan 14 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 10:29 PM