ZIARAH AIDILFITRI HARI PERTAMA PANGKALAN UDARA KUCHING

1 2 3
4 5 6

 

KUCHING, 6 Mei 24 - Komander Pangkalan, Kol Baharin bin Mohamad TUDM bersama isteri, Puan Rosdiana binti Mat Yakim selaku Pengerusi BAKAT PU Kuching telah melaksanakan Ziarah Aidilfitri ke atas beberapa keluarga anggota bertugas di PU Kuching yang menghidap sakit kronik serta OKU. Program ini bertujuan untuk menyantuni di samping menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai serta hamper atau kotak berisi barangan dapur, dari tabung Amal Shoppe PU Kuching dan Tabung Kebajikan pangkalan.

Lawatan ini turut disertai oleh Eksekutif Pangkalan yang lain iaitu Ketua Cawangan Kejuruteraan, Lt Kol Nooraizal bin Abdul Rahman@Che Othman; Pegawai Agama Pangkalan, Kapt Mohamad Hafizzullah bin Mohd Nasir dan beberapa orang ahli BAKAT PU Kuching.

Lawatan dimulakan pada sesi pagi dengan lawatan ke atas adik Orked Medinnah binti Shahril, anak kepada anggota Kpl U Shahril bin Samiun daripada ketukangan Materiel. Adik Orked menghidap kanser mata Retinoblastoma yang mengakibatkan mata kiri tidak dapat berfungsi, manakala mata kanan pula memerlukan bantuan cermin mata khas untuk penglihatan lebih jelas. Sumbangan tambahan wang tunai RM300 yang diserahkan akan digunakan bagi tujuan membeli cermin mata khas tersebut.

Lawatan kedua adalah ke kediaman anggota PW U II Mohd Rusydi bin Mohd Sezali daripada ketukangan Enjin di mana anak beliau, Muhammad Naufal bin Mohd Rusydi yang mengalami Bilateral Coxa Vara iaitu tulang paha pendek sejak lahir. Keadaan semasa adik Naufal adalah stabil dan masih dalam pemantauan secara berkala dengan pihak Hospital Umum Sarawak.

Lawatan ketiga diteruskan ke kediaman Kapt Muhammad Faqih bin Sabri TUDM daripada ketukangan Tadbir didapati anak beliau iaitu Muhammad Firman Arsyad bin Muhammad Faqih menghidap penyakit Autism Spectrum Disorder (ASD) sederhana yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Umum Sarawak dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Mambong.

Lawatan keempat adalah ke kediaman anggota Sjn U Muhamad Alham bin Nor Azmi daripada ketukangan Aeromech, ke atas isteri beliau, Tunku Dayang Suhana binti Tunku Ahmad yang menghidap penyakit Bipolar Disorder. Dua orang anak beliau iaitu adik Puteri Sofea Nur Amanda binti Mohd Azrul menghidap Dyslexia yang memerlukan rawatan di Hospital Umum Sarawak dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Mambong, manakala adik Aisyah Khadijah binti Muhamad Alham pula menghidap Mild Austisme yang memerlukan rawatan pakar sebulan sekali.

Lawatan diteruskan ke sesi malam di kediaman anggota F/Sjn Rachat Rebai anak Dandi daripada ketukangan Instrumen ke atas isteri beliau, Kaylyn anak Clement yang menghidap Kanser Payudara (Tahap 3). Isteri perlu menjalani rawatan Kitaran Kemoterapi setiap 3 minggu dan disusuli dengan rawatan Radioterapi.

Lawatan terakhir adalah di kediaman anggota F/Sjn Mohd Tarmizi bin Mat Noor daripada ketukangan PKTU, ke atas anak beliau, Ammar Ammsyar Bin Mohd Tarmizi menghidap Attension Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Semoga dengan ziarah ini dapat menyuntik semangat kepada keluarga-keluarga yang terlibat dan sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung. Seluruh warga PU Kuching mendoakan agar keluarga-keluarga berkenaan agar diberi kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian serta dipermudahkan segala urusan.