Jangan ambil mudah lepaskan ikan pemangsa untuk tujuan keagamaan, bayar nazar - DOF | Kes | Berita HarianJangan ambil mudah lepaskan ikan pemangsa untuk tujuan keagamaan, bayar nazar - DOF | Berita Harian
Jumaat, 17 Mei 2024 | 4:07pm
Kakitangan Jabatan Perikanan melakukan pemantauan di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor susulan video tular pelepasan ikan pemangsa (invasif) baru-baru ini. NSTP/Ihsan Jabatan Perikanan
Kakitangan Jabatan Perikanan melakukan pemantauan di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor susulan video tular pelepasan ikan pemangsa (invasif) baru-baru ini. NSTP/Ihsan Jabatan Perikanan

Jangan ambil mudah lepaskan ikan pemangsa untuk tujuan keagamaan, bayar nazar - DOF

SHAH ALAM: Jabatan Perikanan (DOF) mengesan ada pihak melepaskan ikan pemangsa (invasif) ke perairan umum untuk tujuan ritual keagamaan dan membayar nazar.

Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar, berkata perbuatan itu dikesan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor apabila rakaman video mengenainya tular, baru-baru ini.

Katanya, jika sebelum ini ikan invasif dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium dan dilepaskan ke sistem saliran tempatan apabila tidak lagi mampu mengendalikannya.

"Antara spesies ikan asing ini ialah baung ekor merah, peacock bass dan pacu yang mempunyai keupayaan membiak serta boleh membesar dengan cepat dan terus berkembang.

"Sebahagian daripadanya juga boleh bertahan dalam keadaan air tercemar seperti ikan keli afrika dan ikan bandar raya (ikan pleco)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Noraisyah berkata, pihaknya tidak pernah melarang atau menyekat sesiapa untuk melakukan upacara nazar, namun dengan syarat tidak melepaskan ikan invasif ke perairan umum.

Katanya, orang awam perlu cakna dan tidak mengambil mudah dengan pencerobohan ini atas apa sahaja alasan, termasuk keagamaan, sosial dan masalah untuk memeliharanya.

"Semua pihak yang berhasrat melepaskan ikan ke perairan umum, dimohon mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Perikanan Daerah terdekat.

"Ini kerana daripada hasil program inventori yang dijalankan dan maklum balas daripada nelayan darat mendapati beberapa sungai utama negeri ini kini dikesan menjadi habitat ikan pemangsa.

"Antara sungai berkenaan ialah Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam, selain beberapa tasik dan kolam takungan," katanya.

Beliau berkata, spesies berkenaan mula mengancam populasi ikan asli tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tenggalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah yang selama ini mendiami perairan terbabit.