GPPTKSL rayu pihak berkuasa pantau E-Hailing – Sabah News Today Portal #1

GPPTKSL rayu pihak berkuasa pantau E-Hailing

LABUAN : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu melakukan pemantauan terhadap pengendali e-hailing bagi memastikan pemandu teksi mendapat keadilan dalam mendapatkan penumpang.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Teksi, Kereta Sewa Limousine dan Lapangan Terbang Sabah dan Labuan (GPPTKSL), Tamrin Eraba berkata, ketika ini ahli GPPTKSL bergelut untuk mendapatkan penumpang, namun mereka tetap beroperasi mengikut peraturan telah ditetapkan.

Katanya, persatuan mereka menyeru agar pihak berkuasa untuk bersikap lebih adil dengan melaksanakan operasi yang lebih kerap bagi memastikan e-hailing mengikut peraturan ditetapkan.

“Kami memohon dan merayu  kepada pihak berkuasa supaya melakukan penguatkuasaan  khususnya JPJ di seluruh Sabah dan Labuan dapat memastikan semua e-hailing beroperasi tidak menunggu penumpang di terminal lapangan terbang mahupun di terminal feri.

“Mereka hanya boleh menghantar tetapi tidak boleh beroperasi di kawasan terminal… Semua ini sudah  dipersetujui dan termaktub di dalam mesyuarat bersama LPKP sebelum ini” katanya di sini semalam.

Mesyuarat yang menyaksikan  kehadiran ahli GPPTKSL dari seluruh Sabah dan Labuan itu dirasmikan Ketua Cawangan JPJ Wilayah Persekutuan Labuan,  Hanry Ebon.

Menurutnya beliau merayu kepada LPKP Sabah supaya membuka semula semua jenis permit pengangkutan awam sepertimana  juga sistem e-hiling yang dibuka  seluas-luasnya kepada orang ramai.

“Kita merayu kepada LPKP supaya permit pengangkutan awam khususnya kereta sewa, bas, teksi Lapangan Terbang dan teksi bajet di buka seluas-luasnya.

“Ini tanpa ada pembekuan untuk permohonan permit…. Tiada istilah ‘dibeku’ sepertimana juga pada sistem e-hailing yang tiada istilah dibekukan,” jelas Tamrin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Labuan, Ismail Abdulrahman mengesa agar pihak berkuasa dapat memberikan kebersamaan antara pihak pemandu teksi dengan e-hailing.

Katanya, ini khususnya dalam menentukan tambang, dan apa juga syarat yang dikenakan kepada pemandu teksi, seperti penyediaan insuran, SOCSO dan sebagainya.

“Kita tidak menghalang e-hailing ini beroperasi untuk bersama-sama mencari sumber rezeki tetapi biarlah ada kebersamaan dari segi peraturan dan syarat syarat seperti yang dikenakan terhadap pemandu teksi” katanya.

Pada majlis itu turut dilancarkan Pra Aplikasi VeGO Borneo Bersama GPPTKSL memberi manfaat kepada ahlinya terutamanya dalam menaiktaraf serta memertabatkan pemandu teksi di Sabah dan Labuan.