BERNAMA Radio - KUTIPAN ZAKAT MELAKA MENINGKAT 4.94 PERATUS KEPADA RM66.9 JUTA
 AM

KUTIPAN ZAKAT MELAKA MENINGKAT 4.94 PERATUS KEPADA RM66.9 JUTA

18/05/2024 11:34 AM

MELAKA, 18 Mei (Bernama) -- Prestasi kutipan zakat di Melaka meliputi zakat harta dan zakat fitrah merekodkan peningkatan sebanyak 4.94 peratus kepada RM66.9 juta dalam tempoh 1 Jan hingga 16 Mei tahun ini berbanding RM63.7 dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah itu zakat fitrah merekodkan kutipan berjumlah RM6.18 juta, meningkat sebanyak 7.41 peratus berbanding pada tahun lepas.

"Pada tahun lepas, Zakat Melaka telah berjaya mengutip keseluruhan zakat berjumlah RM128.3 juta dan pada tahun ini, kita menyasarkan kutipan sebanyak RM135 juta sekali gus memastikan zakat yang dikutip dapat diagihkan sepenuhnya kepada asnaf yang berhak,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Aspresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka Tahun 2023 yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurut Ab Rauf sehingga Mac tahun ini, MAIM telah membelanjakan RM35.2 juta dana zakat untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang berhak dan layak dibantu bagi memastikan kelangsungan kehidupan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata Zakat Melaka perlu kreatif menggunakan teknologi dan platform media sosial untuk menyebarluaskan maklumat tentang kepentingan membayar zakat seperti yang termaktub dalam Rukun Islam sekali gus menarik minat rakyat berzakat.

"Saya mahu warga kerja Zakat Melaka cakna dengan perubahan teknologi semasa dan perlu mengadaptasinya seiring dengan penerimaan rakyat agar proses pembayaran zakat dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata kerajaan negeri Melaka akan menambah baik sistem birokrasi sedia ada khusunya dalam aspek pembelian peralatan pembelajaran antaranya kerusi dan meja melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan perkara yang berlaku di sebuah kelas di sebuah SRA di Jasin tidak berulang demi keselesaan murid sekali gus melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kerajaan negeri akan melihat, memantau dan memberikan kaedah penambahbaikan supaya sistem birokrasi dalam pembelian ini juga (meja dan kerusi) boleh dipercepatkan memandangkan bajet telah diluluskan pada Disember lepas,” katanya.

Ab Rauf berkata bukan semua SRA JAIM berada dalam keadaan daif dan semua pembelian peralatan pembelajaran telah diuruskan dengan baik sejak 2020.

“Sebanyak 95 peratus kemudahan dan peralatan pembelajaran termasuk kerusi dan meja di sekolah berkenaan telah lengkap...hanya sebuah kelas sahaja belum sampai lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan perkara itu telah diselesaikan dengan baik antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh dan pegawai JAIM seperti video berdurasi lebih tiga minit yang tular sejak dua hari lepas.

"Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada Dr Akmal kerana telah menyegerakan pembelian kerusi dan meja berkenaan menggunakan wangnya sendiri untuk membantu sekolah berkenaan," katanya.

-- BERNAMA