Melaka angkat suara anak muda, bentuk ahli dewan undangan belia
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka angkat suara anak muda, bentuk ahli dewan undangan belia

Kerajaan negeri sedang membentuk Ahli Dewan Undangan Belia bermula Jun ini, bagi mengangkat suara belia dan terlibat sama dalam memberi pandangan terhadap isu-isu yang dibincangkan di peringkat kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu antara usaha bagi menyokong pembangunan belia Melaka, dengan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak terlibat agar aspek kepentingan belia terus dijaga.

Kewujudan peringkat Parlimen Belia Malaysia ini akan diterjemahkan kepada Ahli Dewan Undangan Belia negeri dan kita sedang membuat cadangan, bagi memastikan perkara berkenaan dapat direalisasikan.

“Selain itu ia juga boleh menjadi platform menjana pemimpin masa depan, platform orang muda menyuarakan aspirasi mereka terhadap kepimpinan, di samping melahirkan apa juga cita rasa orang muda untuk dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan negeri Melaka,” katanya kepada pemberita di Jasin semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat negeri di Stadium Mini Jasin dan turut di hadiri Exco Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V P Shanmugam dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka Khairul Adri Rosli.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga, akan terus menyokong usaha pembangunan belia di negeri itu, seperti inisiatif melantik wakil belia sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka sebagai Ahli Majlis Turut Hadir, yang dicalonkan oleh pihak komuniti dan pelbagai usaha lain.

Beliau berkata Melaka juga telah bersiap sedia menjadi tuan rumah sambutan HBN 2024 peringkat kebangsaan minggu hadapan, yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan, Banda Hilir dengan memberikan kemudahan dan infrastruktur terbaik, selain menyifatkan penganjuran itu satu pengiktirafan besar kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan anugerah kepada pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2024, iaitu johan kategori individu lelaki dimenangi Mohd Firdaus Baharuddin, kategori individu wanita diraih G Durgashini, manakala kategori pertubuhan belia menjadi milik Junior Chamber International Malacca City Entrepreneur (JCI MCE).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS