BERNAMA - PSAS: SPEEDY TIGERS TEWAS 2-3 KEPADA NEW ZEALAND, RAIH TEMPAT KEEMPAT
 SUKAN > BERITA

PSAS: SPEEDY TIGERS TEWAS 2-3 KEPADA NEW ZEALAND, RAIH TEMPAT KEEMPAT

11/05/2024 10:05 PM

IPOH, 11 Mei (Bernama) -- Malaysia dengan skuad berwajah baharu gagal menyudahkan pukulan penalti untuk mengakhiri kempen PIala Sultan Azlan Shah ke-30 di tempat keempat selepas ditundukkan New Zealand 2-3 pada perlawanan klasifikasi di Stadium Hoki Azlan Shah di sini hari ini.

Skuad Speedy, selaku juara bertahan, telah mensia-siakan satu pukulan penalti dan empat pukulan sudut penalti, sekali gus gagal mengulangi dua kemenangan ke atas pasukan Sukan Olimpik Paris 2024 itu sebelum ini.

Beraksi dalam stadium yang hampir penuh, Malaysia, yang mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan pada 1 Mei dan 6-4 pada pusingan awal Selasa lepas, membuka jaringan seawal minit ketiga apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bijak menolak masuk hantaran tinggi Faizal Saari dari jarak jauh.

Skuad Black Sticks, yang menduduki ranking ke-10 dunia, berjaya bangkit mendahului menerusi jaringan pukulan sudut penalti Scott Cosslett pada minit kelima dan gol padang Jonty Elmes pada minit ke-10.

Pasukan ke-13 dunia, Malaysia kemudian mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, apabila dihadiahkan pukulan penalti selepas bola terkena pemain pertahanan New Zealand pada minit ke-39, namun percubaan Muhammad Azrai Aizad jauh tersasar.

Skuad kendalian Sarjit Singh terus dihukum apabila Dane Lett menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-48, sebelum merapatkan jurang menerusi Mohammad Fitri Saari, 44 saat sebelum wisel penamat.

Malaysia gagal mara ke final selepas menamatkan saingan liga sepusingan di tempat ketiga dengan sembilan mata selepas lima aksi, manakala New Zealand di tempat keempat dengan tujuh mata.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah muncul juara ketika kali terakhir kejohanan itu diadakan pada 2022, manakala muncul naib juara sebanyak lima kali (1985, 2007, 2009, 2013, 2014).

Bagaimanapun,Sarjit, yang dilantik Mac lalu dan sedang dalam proses membentuk pasukan mantap, menyasarkan kedudukan empat pasukan terbaik pada kempen kali ini.

Mengulas mengenai aksi itu, katanya anak buahnya bermula baik dan beraksi dengan penuh komited, namun kesilapan mudah dan kelekaan dalam mengawal pergerakan lawan menyebabkan mereka tumpas.

“Sperti yang saya katakan sebelum ini, kami sedang membina pasukan untuk Sukan Asia 2026, kami masih mempunyai banyak masa untuk menguji pemain dan bersedia ke arah itu,” katanya.

Katanya beliau akan memberikan peluang kepada lebih kurang enam pemain daripada senarai 30 pemain yang tidak diturunkan kali ini untuk beraksi di Piala Negara-Negara bermula 29 Mei hingga 9 Jun di Poland.

Terdahulu, juara tiga kali Korea Selatan menamatkan saingan di tempat kelima selepas membenam Kanada 4-1 dalam perebutan kedudukan dua tercorot dalam kejohanan jemputan itu. 

Korea Selatan menjaringkan gol menerusi Kong Yoonho pada minit ke-15, Lim Dohyun (16’), Seo Inwoo (17’) dan Jung Hyunho (24’), manakala Harbir Sidhu (50’) menjaringkan gol sagu hati Kanada.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial