Bursa Malaysia catat kenaikan berterusan, dibuka tinggi | Pasaran | Berita HarianBursa Malaysia catat kenaikan berterusan, dibuka tinggi | Berita Harian
Isnin, 20 Mei 2024 | 12:01pm
Gambar fail. - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI
Gambar fail. - NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI

Bursa Malaysia catat kenaikan berterusan, dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat pada sesi dagangan awal hari ini walaupun prestasi Wall Street yang bercampur-campur, mengambil petunjuk daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.69 mata kepada 1,622.31 daripada 1,616.62 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.66 mata kepada 1,618.28.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 411 berbanding 129, dengan 349 kaunter tidak berubah, 1,490 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 451.18 juta unit bernilai RM179.29 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup bercampur-campur dan Dow melepasi paras 40,000.

Bagaimanapun, katanya pelabur menunggu ucapan pegawai Rizab Persekutuan AS dan data tuntutan pengangguran pada minggu ini untuk memahami hala tuju kadar faedah secara keseluruhannya pada masa depan.

"Secara keseluruhannya, pasaran saham masih dalam sentimen positif berikutan ekonomi terus berkembang pada suku pertama 2024," katanya.

Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif.

"Kami turut menjangka tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh AS ke atas produk China akan memberi manfaat kepada syarikat Malaysia berikutan potensi lencongan perdagangan yang lebih tinggi pada masa depan," katanya.

Firma broker itu percaya sektor berkaitan teknologi dan logam akan mendapat momentum dalam tempoh terdekat hingga sederhana.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB, masing-masing menambah satu sen kepada RM9.93, RM4.20 dan RM6.82, Tenaga Nasional meningkat 10 sen kepada RM12.70 dan CelcomDigi naik lima sen kepada RM4.11.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang naik satu sen kepada 10.5 sen, AHB Holdings meningkat setengah sen kepada 16.5 sen manakala Malayan United, EA Holdings dan Iconic Worldwide, masing-masing tidak berubah pada enam sen, setengah sen dan 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 52.77 mata kepada 12,360.95, Indeks FBMT 100 meningkat 49.45 mata kepada 11,955.46 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 69.63 mata kepada 12,591.84.

Indeks FBM ACE naik 13.76 mata kepada 5,364.98 dan Indeks FBM 70 melonjak 103.78 mata kepada 17,744.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 35.92 mata kepada 17,681.53, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.26 mata kepada 196.08, Indeks Perladangan menambah 24.92 mata kepada 7,411.70, bagaimanapun Indeks Tenaga merosot 0.87 mata kepada 985.08. – Bernama