BERNAMA - KAZAKHSTAN BERI PELUANG SYARIKAT MALAYSIA TEROKA BIDANG BAHARU
 EKONOMI > BERITA

KAZAKHSTAN BERI PELUANG SYARIKAT MALAYSIA TEROKA BIDANG BAHARU

17/05/2024 08:18 PM

Oleh Salawaty Supardi

ASTANA, 17 Mei (Bernama) -- Kazakhstan bersetuju memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk meneroka pelbagai bidang di negara Asia Tengah itu termasuk perlombongan dan tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu, Kazakhstan juga mahu mengukuhkan kerjasama termasuk perkongsian pengetahuan kerana Malaysia mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam industri pembuatan cip.

“Kazakhstan adalah negara penting di Asia Tengah kerana kekuatan ekonominya dan mereka juga mahu hubungan dengan Malaysia terus ditingkatkan.

“Mereka memberi peluang dan insentif istimewa kepada kita kerana hubungan dua hala dan diplomatik antara kedua-dua negara yang bermula sejak 1992, cuma ia tidak ditingkatkan,” katanya pada sidang media di akhir lawatan rasmi selama dua hari ke Kazakhstan, hari ini.

Anwar tiba di sini semalam dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kesepakatan tersebut dibuat dalam pertemuan beliau dengan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) di sini semalam yang disusuli mesyuarat dua hala delegasi masing-masing. 

Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia dan negara juga mahu memudahcara proses perdagangan dan pelaburan bagi menarik pelabur serta komuniti perniagaan meneroka peluang kerjasama baharu.

“Kita juga mahu mengukuhkan kerjasama dalam sektor berkepentingan seperti halal, perbankan Islam dan pertanian,” kata beliau.

Mengenai Mesyuarat Pelaburan Meja Bulat Kazakhstan-Malaysia hari ini, Anwar berkata empat memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada sesi berkenaan yang dijangka menjana eksport sebanyak RM1.6 bilion (US$350 juta).

MoU yang dimeterai hari ini melibatkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Kajian Strategik Kazakhstan (KazISS), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken).

Turut memeterai MoU adalah Hyrax Oil Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Alegeum Electric serta antara Berkat OSH Services Sdn Bhd dan APEC Training Center LLP.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Ia bersempadan dengan Rusia, China, Republik Kyrgyz, Uzbekistan, Turkmenistan dan juga sebahagian besar Laut Kaspia. Eksport utamanya ialah minyak, diikuti gas asli dan komoditi lain. Ia juga merupakan pengeluar utama gandum.

Sementara itu, menerusi catatan di laman Facebook, Anwar berkata seramai 12 tokoh industri terkemuka Kazakhstan dari 12 syarikat yang tersenarai dalam Forbes menyertai Mesyuarat Pelaburan Meja Bulat Kazakhstan-Malaysia itu.

Beliau berkata antara syarikat yang terlibat dalam pertemuan itu ialah Kazakhmys Corporation LLP, Magnum Cash & Carry, Orbis Kazakhstan, Mechta Market dan Alageum Electric Group. 

Terdahulu, Anwar ditemu bual oleh akhbar berbahasa Inggeris Kazakh, Astana Times.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial