KPKT salur lebih RM83 juta bagi 17 projek di Melaka

Kor Ming (kanan) ketika lawatan kerja di Medan Selera Sultan Muhammad sempena rangka lawatan program Sentuhan Kasih KPKT di Batu Berendam pada Sabtu.
Kor Ming (kanan) ketika lawatan kerja di Medan Selera Sultan Muhammad sempena rangka lawatan program Sentuhan Kasih KPKT di Batu Berendam pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sejumlah RM83.66 juta bagi merealisasikan 17 projek di Melaka ke arah strategi pembangunan komuniti yang berkesan dan mampan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan yang akan bermula pada Sabtu dan wajib disiapkan akhir tahun ini termasuk memberi fokus kepada pembinaan kediaman di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan melibatkan kos RM22.31 juta.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga tidak ketinggalan bagi program baik pulih dan bina rumah baharu di kawasan bandar berumlah RM3.755 juta.

Tambahnya, projek yang telah disusun dan dirancang itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat dalam memastikan mereka menikmati persekitaran lebih bersih, selesa, selamat dan berdaya tahan.

"Melalui komitmen berterusan, kami berharap untuk melihat kemajuan yang signifikan dalam pembangunan negeri komuniti di seluruh Melaka.

"Kerajaan Persekutuan juga amat menitikberatkan pembangunan negeri-negeri dan melalui inisiatif ini kami menunjukkan bahawa pembangunan dan kemajuan tidak mengenal batas wilayah atau perbezaan politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Medan Selera Sultan Muhammad, sempena rangka lawatan program Sentuhan Kasih KPKT di Batu Berendam dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yassin.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, lawatan kerja itu merupakan Sentuhan Kasih KPKT yang ke-21 bermula sejak Disember 2021 dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, peruntukan itu juga bagi merealisasikan pembinaan kediaman baharu di bawah program Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Katil dengan kos RM15.5juta serta sambungan projek PPR Pulau Gadong yang melibatkan kos RM12.55 juta.


KPKT beri 'amaran' kepada PBT Melaka

MELAKA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi 'amaran' kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya lebih telus khususnya dalam pelaksanaan projek melibatkan peruntukan disarlukan kementerian itu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ini termasuklah setiap PBT wajib mematuhi dan melalui Analisis Kos Faedah (CBA) dalam setiap pelaksanaan projek, sekali gus memastikan setiap kos digunakan mendapat Pulangan Pelaburan (ROI) termasuk bagi menggelakkan sebarang ketirisan berlaku.

"Kita tidak mahu ada lagi tong sampah harga RM100, pihak berkuasa tempatan (PBT) beli dengan harga RM500.

"Kes macam ini jika berlaku sekali sahaja, tahun depan peruntukan saya potong habis, satu sen pun tidak akan bagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di Medan Selera Sultan Muhammad sempena rangka lawatan program Sentuhan Kasih KPKT di Batu Berendam di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yassin.

Kor Ming turut menyarankan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) PBT untuk mencari projek-projek yang berimpak tinggi bagi membolehkan pulangan yang paling maksimum kepada rakyat.

Malah beliau turut menegaskan, setiap PBT harus mencapai prestasi berdasarkan peruntukan besar yang telah disalurkan kepada mereka.

Ujar beliau, kementerian tidak teragak-agak untuk mengeluarkan surat teguran kepada pegawai yang bertanggungjawab selain YDP dan barisannya akan dipotong peruntukan pada tahun hadapan sebagai mesej supaya wajib menunjukkan prestasi cemerlang.

"Saya tegaskan perkara ini, jika ada PBT yang tidak menunjukkan prestasi baik, duit sudah beri dia tak ada alasan.

"Dulu selalu kata tak ada peruntukan, sekarang sudah dapat jika tidak mencapai prestasi kita akan keluarkan surat," ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM83.66 juta bagi merealisasikan 17 projek di Melaka ke arah strategi pembangunan komuniti yang berkesan dan mampan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!