Ab Rauf akui birokrasi masih wujud dalam jabatan, agensi Melaka | Harian Metro
AB Rauf (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota Zakat Melaka pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023. FOTO Amir Mamat
AB Rauf (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan anggota Zakat Melaka pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengakui perlu ada penambahbaikan terhadap kerenah birokrasi yang masih lagi wujud dalam kalangan jabatan serta agensi kerajaan negeri ketika ini.

Beliau berkata, langkah pemantauan bagi mengekang dan menghentikan budaya birokrasi itu akan dilaksanakan segera bagi memastikan bebanan yang ditanggung rakyat tidak berpanjangan.

"Ada yang perlu ditambah baik khususnya jabatan yang membabitkan pendidikan seperti JAIM (Jabatan Agama Islam Melaka) berkaitan isu ketiadaan kerusi dan meja di sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (SRA) Ayer Merbau, Jasin.

"Kerajaan negeri akan memantau kaedah penambahbaikan terhadap masalah itu supaya ia tidak berulang pada masa depan," katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023, di sini, semalam.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu.

Beliau mengulas isu ketiadaan kerusi dan meja yang tular selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau yang juga Exco negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh memuat naik video lawatan beliau ke sekolah itu, Selasa lalu.

Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno mendakwa, seramai 34 murid SRA JAIM Ayer Merbau, terpaksa duduk di atas lantai ketika belajar susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan JAIM menyelesaikan masalah terbabit yang berlarutan sehingga lima bulan.

Berikutan itu, Muhamad Akmal mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membeli 34 set kerusi dan meja untuk murid Tahun Tiga SRA terbabit, dalam tempoh 24 jam selepas lawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, beliau memuji langkah Muhamad Akmal yang sangat prihatin apabila mengeluarkan wang sendiri bagi membeli kelengkapan pembelajaran terbabit.

Pada masa sama, beliau turut menasihati mana-mana pihak supaya mencari titik keharmonian dalam menyelesaikan apa-apa isu berbangkit bagi mengelakkan pandangan negatif masyarakat.

"Dalam hal ini, saya berharap (hubungan) antara pegawai JAIM dan Adun berkenaan dapat dimurnikan dengan bijaksana dan bukannya dengan jawapan penuh sindiran dan emosi bagi mengelakkan pandangan serong masyarakat terhadap kedua-dua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:27 PM