Notis rasmi akan diberi dalam masa terdekat | Harian Metro
Datuk Razali Idris
Datuk Razali Idris
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Notis rasmi mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberikan dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebelum ini Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sudah mengarahkan agar Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk 'menguruskan' notis kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berkenaan.

"Dalam masa terdekat mesti sampai. Kita kena tengok kiri kanan juga. Kita kena hati-hati sebab alih sokongan ini banyak perkara teknikal.

"Sabarlah. (Nanti) sampai, Insya-Allah. Takkan lari gunung dikejar. Jangan risau," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, dilaporkan Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang notis daripada Bersatu berhubung status keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Anwar, susulan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan baru-baru ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, sehubungan itu, kedudukan enam wakil rakyat berkenaan masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

Pada 2 April lalu, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian mereka dan seterusnya mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Razali berkata, sekiranya Johari mendapat notis berkenaan, beliau menggesa agar Yang Dipertua Dewan Rakyat itu untuk tidak berdolak dalih serta mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen itu.

"Speaker kalau dapat (notis), dia jangan pusing-pusing pula. Teruskan dan kosongkanlah kerusi itu. Itu saja saya nak pesan kepada Speaker. Kemudian, kita adakan pilihan raya," katanya.

Beliau juga tidak melihat sebarang kemungkinan bahawa Johari akan melambatkan isu pengosongan kerusi itu.

"Saya yakin apabila Speaker bertanya, dia nak percepatkan pengosongan kerusi. Itu jangkaan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 3:00 PM