Lucutkan hak dan lupuskan TRM di Sitiawan - MHO | Harian Metro
Datuk Hishamuddin Hashim
Datuk Hishamuddin Hashim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Putrajaya: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Tanah Rizab Melayu (TRM) seluas 649.2 hektar yang dipertikaikan di Sitiawan, Perak dilucutkan hak dan dilupuskan kepada kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini disebabkan berdasarkan maklumat diterima pihaknya, status tanah itu masih belum lagi dikembalikan, sebaliknya hanya dilakukan kaveat pendaftar.

"Kita sebenarnya mempertikaikan keputusan hanya memasukkan kaveat pendaftar kerana hasil daripada tanah itu masih diguna pakai oleh bukan Melayu yang memegang TRM secara salah.

"Seharusnya diikuti satu tindakan untuk melupuskan, melucutkan hak tanah 649.2 hektar ini dan dikembalikan kepada kerajaan Persekutuan.

"Ini kerana perkara ini adalah salah satu undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya pada sidang medianya di luar ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Pada 30 April lalu, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ipoh atas pertuduhan menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot TRM kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, 12 tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, selain menyerahkan cadangan itu kepada SPRM, pihaknya juga mempunyai bukti baharu bahawa pemindahan TRM itu bukan hanya membabitkan 649.2 hektar tanah di Sitiawan, Perak semata-mata.

"Kita juga membawa bukti terbaru bagaimana bukan hanya tanah sebanyak 649.2 hektar, tetapi sebenarnya ribuan hektar lagi yang ada dan belum dikenal pasti (oleh SPRM di Perak).

"Kita akan serahkan kepada SPRM supaya siasatan bukan hanya kepada 649.2 hektar (sebaliknya) ada ribuan hektar tanah yang masih dipegang bukan Melayu dipindah milik secara tidak sah di sisi undang-undang," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 4:18 PM