SKUAD Manchester United nampaknya berdepan dengan kemungkinan pemotongan gaji besar-besaran berikutan kegagalan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara 2024-25.

Selepas musim pertama yang berjaya di bawah kendalian Erik ten Hag, Red Devils mengalami kemunduran dengan ketara pada 2023-24 dan berisiko kehilangan bola sepak Eropah sepenuhnya.

Diletakkan dalam kumpulan Liga Juara-Juara bersama Bayern Munich, Galatasaray dan Copenhagen, anak buah Ten Hag itu menamatkan saingan di tempat terakhir dan mengalami kedudukan terburuk dalam Liga Perdana Inggeris.

Walaupun menewaskan Brighton & Hove Albion 2-0 pada hari terakhir, Man United hanya mampu mencatatkan penamat di tempat kelapan dengan 60 mata, meletakkan diri mereka di luar kedudukan Eropah dalam liga teratas.

Pasukan Ten Hag masih mampu melayakkan diri ke Liga Europa dengan menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA, tetapi mereka tidak akan beraksi UCL, yang membawa impak yang besar.

Menurut The Sun, skuad senior Red Devils kini berdepan penurunan gaji sebanyak 25 peratus, dan ketua jurulatih Ten Hag juga tidak terlepas daripada pengorbanan kewangan.

Bagaimanapun, ia masih harus dilihat sama ada pengendali Belanda itu - yang menerima gaji RM53 juta setahun bakal dikurangkan kepada RM40 juta setahun - kekal, setelah memimpin musim terburuk dalam sejarah Red Devils.

Keputusan mengenai masa depan Ten Hag dijangka tidak akan dibuat sebelum perlawanan akhir Piala FA, tetapi dia dikhabarkan hanya mempunyai peluang 50-50 untuk mengekalkan tugasnya ketika Sir Jim Ratcliffe menimbang kemungkinan pengganti.

Rancangan Man United yang jelas untuk mengurangkan gaji pemain boleh menghalang peluang mereka untuk mengekalkan kapten pasukan, Bruno Fernandes.

Casemiro dikatakan sebagai penyumbang tertinggi kelab pada masa ini dengan RM2.08 juta seminggu, tetapi bekas pemain Real Madrid itu dijangka menjadi salah seorang yang bakal meninggalkan kelab penghujung musim ini. - Stadium Astro