KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) harus secara kolektif mewujudkan penetapan gaji standard untuk mencegah kadar gaji tidak sesuai yang memberi kesan kepada golongan wanita, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau menekankan kepentingan mengiktiraf bahawa peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah daya positif global.

“Secara global, lebih ramai wanita dalam tenaga kerja adalah penting untuk memastikan pendapatan gabungan keluarga yang lebih tinggi, membawa kepada peningkatan penggunaan domestik dalam masyarakat kita.

“Untuk memudahkan lebih banyak penyertaan tenaga kerja wanita, kita memerlukan ekonomi yang kukuh. Ini memerlukan keadaan sosial yang lebih kukuh seperti penjagaan kanak-kanak dan penjagaan warga emas, ia akan meningkatkan sektor perkhidmatan kita dan menyumbang kepada masyarakat yang lebih berdaya tahan secara keseluruhan,” katanya.

Liew membuat kenyataan ini pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Wanita dan Menteri-Menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan di Arequipa, Peru, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia menjadi contoh di peringkat global walaupun terdapat percanggahan dalam penyertaan tenaga buruh wanita.

Kadar penyertaan buruh wanita (FLPR) di Malaysia berada pada 56 peratus berbanding 82.9 peratus bagi lelaki, lebih rendah daripada kebanyakan negara lain di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai kejayaan yang ketara, sebanyak 58 peratus wanita berkerja berada di perkhidmatan awam.

“Di peringkat membuat keputusan dalam perkhidmatan awam (Jusa C dan ke atas), 42 peratus adalah wanita, ia adalah jumlah yang sangat tinggi dalam kalangan negara membangun,” katanya.

Beliau berkata mulai 2023, Malaysia mewajibkan 30 peratus ahli lembaga pengarah tersenarai awam adalah wanita dengan kadar pematuhan yang tinggi.

“Oleh itu, pada peringkat membuat keputusan dalam perniagaan dan kerajaan, wanita mencapai kemajuan yang ketara. Namun, keseluruhan kadar penyertaan buruh wanita kekal rendah,” katanya.

Liew mengaitkan percanggahan ini dengan pergantungan jangka panjang Malaysia kepada buruh asing yang tidak mahir dan bergaji rendah sejak 25 tahun lepas, membawa kepada gaji yang tidak sesuai dan kurangnya minat mengambil pekerja wanita.

Terdapat juga peruntukan awam yang tidak mencukupi untuk penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas dan infrastruktur lain untuk menyokong penyertaan tenaga kerja wanita.

Ketika ekonomi Malaysia meningkat dalam rantaian nilai, beliau berkata lebih ramai pekerja mahir akan diperlukan dan gaji yang lebih tinggi akan menarik lebih ramai wanita ke dalam tenaga kerja formal.

“Pasaran buruh yang ketat juga menggalakkan majikan untuk memberi lebih perhatian dalam menjadikannya lebih menarik untuk wanita menyertai tenaga kerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here