Zainal Rahim dilantik Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara - MalaysiaPost

Zainal Rahim dilantik Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara

BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Pelantikan itu bagi tempoh 1 Mei 2024 sehingga 30 September 2026.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, surat pelantikan itu diserahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, Zainal Rahim pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan pernah menjadi Ketua Ketiausaha (KSU) KESUMA bagi tempoh 2012 hingga 2014.

“Ketika bertugas sebagai KSU KESUMA, beliau merupakan tulang belakang di sebalik pengenalan penetapan gaji minimum di negara ini.

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran beliau berkenaan ekosistem pasaran buruh khususnya melibatkan dasar gaji mampu memberi nilai tambah kepada MPGN,” menurut kenyataan itu.

MPGN berfungsi dalam membincangkan isu-isu berkenaan gaji melalui perundingan yang berteraskan konsep tripartite dengan penglibatan aktif wakil kerajaan, pekerja dan majikan.

Dalam pada itu, KESUMA memaklumkan pada masa kini, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022.

“Kajian ini akan dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPGN yang akan datang.

“Pelantikan ini diharap dapat memperkasakan MPGN dalam melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights