Akmal Rizal puas hati Penang ikat TFC | Harian Metro
PENYERANG Penang FC, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar (kanan) diasak pemain TFC, Alif Zakaria pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
PENYERANG Penang FC, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar (kanan) diasak pemain TFC, Alif Zakaria pada perlawanan di Stadium Bandaraya, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya dan menyifatkan pasukannya bernasib baik setelah seri tanpa jaringan dengan Terengganu FC (TC) di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu memuji semangat juang serta komitmen skuad Harimau Kumbang dan tidak begitu khuatir terhadap ketumpulan jentera serangan yang masih gagal mencipta sebarang gol selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super setakat ini.

"Bukan mudah menentang Terengganu iaitu antara pasukan terkuat dalam liga. Saya rasa pada separuh masa pertama, kita menekan mereka, tapi kita tahu dengan kualiti yang ada mereka boleh mengimbangi perlawanan.

"Separuh masa kedua saya rasa kita lebih banyak mencipta ruang dan melakukan percubaan ke arah pintu gol, tapi dalam bola sepak kalau kita harapkan nasib, tak menjadi," katanya selepas perlawanan itu.

Akmal berazam untuk sentiasa bekerja keras dalam usaha memperoleh keputusan lebih baik, sekali gus optimis dengan keupayaan serta kemampuan anak buahnya terutama barisan serangan untuk kembali mempertajamkan sentuhan dalam perlawanan selepas ini.

"Semalam, PDRM FC menang di Ipoh dengan jurulatihnya, P Maniam sangat berpengalaman, beliau tahu bagaimana berdepan lawan.

"Jadi saya perlu bersedia melihat dalam masa singkat ini bagaimana menghadapi PDRM, tajamkan serangan untuk hasilkan jaringan pertama musim ini," ulasnya menjelang perlawanan dengan PDRM FC, Sabtu depan.

Pada masa sama, beliau yakin dengan gandingan penggempur import Brazil iaitu Rodrigo Dias dan Neto Oliveira untuk mengemudi jentera serangan Penang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 10:27 PM