Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Rita Rudaini menasihati golongan selebriti agar tidak terlalu risau sekiranya kehilangan tawaran kerja akibat tindakan boikot kerana pernah melalui pengalaman tersebut.

Menurut Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, situasi sama pernah dilaluinya suatu ketika dahulu semasa tidak mengambil vaksin Covid-19 kerana percayakan rezeki daripada Allah.

“Kalau yakin rezeki itu datang dari Allah, insya-Allah. Jangan risau dan takut.

“Saya sudah pernah lalui zaman vaksin dahulu. Tiada vaksin, tiada pekerjaan untuk awak Rita.

“Namun, dia orang lupa yang saya ada Allah. Dia yang pegang rezeki saya,” tulisnya menerusi hantaran InstaStory.

Sebelum ini, beberapa selebriti tanah air dinamakan dalam gerakan Blackout 2024 selepas didakwa masih menjalinkan kerjasama dengan jenama penyokong Israel.

Antara selebriti Malaysia yang berada dalam senarai sama ialah Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari.

Susulan itu, netizen mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti-selebriti terbabit yang menyaksikan pengikut mereka telah hilang secara mendadak. – MalaysiaGazette