Jangan Politikkan Isu JKDM, Tujuan Asal Untuk Manfaat Rakyat – Musliati

KOTA KINABALU, 17 Mei – Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berharap pelantikan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah tidak dipolitikkan kerana ia bertujuan memberikan manfaat kepada rakyat.

Menurut beliau ini kerana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sahaja tidak mampu untuk memberi perkhidmatan optimal kepada ribuan penduduk dalam satu-satu kampung.

“UMNO tidak perlu digeruni atau ditakuti sebab dari dulu kini dan selamanya perjuangan UMNO adalah untuk membantu rakyat walaupun semasa berkuasa ataupun tanpa kuasa. Hentikanlah politik berlebihan dan raikan pelantikan ini sebab peranan dan tugas mereka adalah membantu rakyat.

“Peruntukan pewujudan JKDM ini adalah daripada Kerajaan Pusat tanpa menggunakan duit kerajaan negeri. Kita seharusnya menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) kerana fokus dan komited memilih Sabah untuk perlantikan ini serta mereka yang dilantik pun adalah daripada kalangan rakyat Sabah juga dan penduduk setempat yang berada di kawasan berkenaan.

“Keutamaan fungsi JKDM adalah kepada agenda ekonomi masyarakat desa bukannya kepada pentadbiran kampung. Kenyataan pecah dan perintah adalah satu tuduhan berniat jahat dan dangkal kerana ramai yang dilantik adalah daripada kalangan masyarat setempat di kawasan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Musliati yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia malah berkata, dasar Kerajaan Madani adalah antaranya untuk menoktahkan miskin tegar di Sabah dan salah satu cara adalah dengan dengan mewujudkan JKDM bagi memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

Beliau dalam pada itu menambah, ketiadaan JKDM di Sarawak kerana negeri tersebut tidak mempunyai daerah termiskin di Malaysia.

“Beberapa Negeri di Semenanjung juga diwujudkan jawatan ini seperti Selangor, Kedah, Perlis dan Kelantan.

“Apabila ada yang mengecam penubuhan JKDM bererti beliau menolak usaha Kerajaan Madani untuk membantu pembangunan Sabah yang sangat ketinggalan.

“Kita seharusnya menyambut baik usaha Kerajaan Malaysia dan KKDW kerana fokus serta komited memilih Sabah untuk perlantikan ini serta mereka yang dilantik pun adalah daripada kalangan rakyat Sabah juga dan penduduk setempat yang berada di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Untuk rekod selain di Sabah, JKDM juga bakal ditubuhkan di Selangor selepas disahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bulan lalu yang menyatakan senarai calon pengerusi telah diterima. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.