Ketupat jantung air tangan 40 tahun Ruslina

Ruslina menunjukkan ketupat jantung yang dihasilkan.
Ruslina menunjukkan ketupat jantung yang dihasilkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketupat jantung yang dihasilkan oleh seorang warga emas dari Kampung Bukit Kechil di sini mendapat perhatian peminat makanan tradisional itu kerana keunikan bentuknya.

Ruslina Ab Rahman, 60, belajar membungkus ketupat berbentuk lonjong itu daripada Allahyarham ibunya, Che Minah Yusof kira-kira 40 tahun lalu, namun 10 tahun kemudian dia mula serius menerima tempahan.

Menurut Roslina, bentuk lonjong atau lebih dikenali sebagai jantung itu terhasil selepas ibunya mengajarkan dua cara membungkus ketupat, namun dia lebih menggemari kaedah lonjong kerana lebih mudah.

"Lagipun bentuk ini tidak memerlukan daun yang sama besar dan panjang seperti ketupat berbentuk tiga segi.

"Kita boleh menggunakan daun lebih kecil atau pendek untuk membuat dua kelongsong yang dilapis bersama sebelum diikat di bahagian atas sekali gus tiada pembaziran daun palas," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Sabtu.

Mungkin kerana keunikan bentuknya kata Ruslina, ramai yang menempah dan mahu mencuba empat perisa ketupat yang dihasilkan iaitu lemak, lemak manis, serunding daging dan pulut hitam.

"Saya membuat ketupat ini setiap hari kerana sentiasa menerima tempahan dari seluruh negara yang perlu dipos ke luar Kelantan dan dihantar jika di sekitar daerah ini," katanya.

Tambahnya lagi, ramai yang berpuas hati kerana ketupat jantung air tangannya tahan lama dan tidak mudah basi walaupun berada di luar peti sejuk selama tiga hari.

Artikel Berkaitan:

Nenek kepada 15 cucu itu juga memberitahu, bagi menghasilkan ketupat palas yang enak, dia membasuh beras pulut sehingga airnya benar-benar bersih dan jernih.

"Saya juga akan menggunakan santan segar yang belum dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi memastikan rasa ketupat lebih lemak dan tidak melekit di tangan," katanya.

Katanya lagi, dia tidak menang tangan menerima tempahan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha berikutan ramai pelanggan yang mahu menikmati ketupat jantungnya itu.

Nur Asmieda menunjukkan ketupat jantung sejuk beku.
Nur Asmieda menunjukkan ketupat jantung sejuk beku.

Bagaimanapun, Ruslina bersyukur kerana dia dibantu seorang anaknya Nur Asmieda Abdullah, 35, untuk membuka daun palas bagi mempercepatkan proses membungkus.

Buat masa ini Ruslina hanya membungkus ketupat seorang diri berikutan tiada ahli keluarga yang mahir untuk membantunya.

Justeru, bagi memudahkan pelanggan dari luar Kelantan, Ruslina membuat ketupat jantung sejuk beku.

Nur Asmieda menunjukkan ketupat jantung yang sudah masak.
Nur Asmieda menunjukkan ketupat jantung yang sudah masak.

Bagi mengekalkan ketupat jantung, Ruslina berusaha mengajar anak Nur Asmieda teknik membungkus ketupat berkenaan.

"Saya berharap ada yang akan menyambung warisan ini supaya ketupat jantung yang dihasilkan ibu saya satu masa dulu kekal diwarisi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!