Nasi goreng mudah & sedap, ini resipi untuk dijadikan bekal harian
Home > Santapan > Sesuai dijadikan bekal makanan, ini variasi resipi nasi goreng mudah & sedap!
Sesuai dijadikan bekal makanan, ini variasi resipi nasi goreng mudah & sedap!

Terkenal sebagai salah satu hidangan di Malaysia yang sedap dan mengambil masa yang ringkas untuk disediakan, nasi goreng semestinya mempunyai tempat istimewa di hati masyarakat tempatan. Maka, tidak hairanlah apabila hidangan ini sering dijadikan pilihan utama bagi kebanyakan individu, sama ada di rumah mahupun di restoran.

Nasi goreng di Malaysia juga mempunyai pelbagai variasi, masing-masing mencerminkan kepelbagaian budaya dan citarasa tempatan. Antara jenis nasi goreng yang popular adalah nasi goreng kampung, yang disajikan dengan ikan bilis dan sambal belacan, dan nasi goreng Cina, yang biasanya ditambah dengan sayur-sayuran, telur, dan daging seperti ayam atau udang.

Bagi anda yang ingin berjimat dengan membawa bekal ke tempat kerja atau bagi para ibu yang ingin menyediakan bekal bagi anak ke sekolah, jom cuba variasi resipi nasi goreng yang telah kami kongsikan di bawah. Semestinya menarik dan menyelerakan!

Variasi nasi goreng yang menggiur selera

Resipi nasi goreng kampung

nasi goreng
Kredit: Che nom

Bahan-bahan:

    • 4 cawan nasi sejuk
    • 3 ulas bawang putih
    • 2 biji bawang merah kecil
    • 6-8 tangkai cili padi
    • 2 sb ikan bilis
    • 1 ketul isi ayam
    • 1 ikat kangkung
    • 1 inci belacan
    • 1 sk garam
    • 2 biji telur
    • 1-2 sb kicap manis
    • 1-2 sb sambal belacan
    • 1 cawan ikan bilis
    • Timun
    • Cili merah

Cara penyediaan:

    1. Daun kangkung, potong dan asingkan batang dan daun.
    2. Isi ayam buang lemak dan tulang kemudian potong kepada ketulan kecil.
    3. Cincang kasar bawang merah kecil dan bawang putih.
    4. Potong kasar cili padi.
    5. Tumbuk halus ikan bilis, bawang putih, bawang merah dan cili padi.
    6. Panaskan minyak dan goreng telur. Kacau biar hancur. Angkat dan ketepikan.
    7. Goreng ikan bilis sampai garing. Angkat dan ketepikan.
    8. Tumis bahan tumbuk sehingga garing.
    9. Masukkan belacan bakar dan isi ayam. Kacau sampai ayam separuh masak.
    10. Masukkan batang kangkung dan sambal belacan (lebihkan belacan dan cili padi kalau tak nak masuk sambal belacan).
    11. Masukkan nasi sejuk dan kacau sebati.
    12. Masukkan garam, telur, daun kangkung, kicap pekat manis dan ikan bilis goreng (simpan sedikit untuk taburan akhir). Kacau sebati
    13. Hidangkan bersama ikan bilis goreng, hirisan timun dan cili merah.

Resipi nasi goreng Cina

nasi goreng
Kredit: Unilever

Bahan-bahan:

  • 2 mangkuk nasi putih
  • 2 biji telur
  • isi ayam, hiris nipis
  • isi udang
  • sayur campur (karot, kacang pis, isi jagung)
  • lada sulah
  • 1 kiub ayam
  • 1/2 sudu kecil minyak bijan
  • sedikit minyak untuk menumis
  • Bahan tumbuk kasar (nak hiris nipis pun boleh):
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang merah

Bahan untuk hiasan:

    • bawang goreng
    • hirisan daun bawang
    • hirisan cili
    • timun
    • sambal belacan

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumbuk kasar. Tumis sehingga kekuningan dan naik bau.
  2. Masukkan isi ayam dan kacau sampai agak masak dan masukkan pula isi udang.
  3. Kais sedikit bahan-bahan tumis tadi ke tepi kuali dan masukkan telur. Kacau telur sedikit supaya menjadi seperti scramble egg, tak perlu terlalu halus. Biar telur berketul-ketul.
  4. Masukkan pula kiub ayam yang dihancurkan, lada sulah dan juga sayuran campur.
  5. Masukkan nasi putih dan minyak bijan kemudian kacau sehingga nasi menjadi sebati dan sedikit garing.
  6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Hati-hati masukkan garam kerana kiub ayam sudah masin rasanya. Angkat dan hidang bersama bahan hiasan.

Resipi nasi goreng kerabu

Kredit: Che Nom
  • Bahan-bahan untuk tumbuk halus:
    • 2 biji bawang merah
    • 3 ulas bawang putih
    • 5-8 tangkai cili padi
    • 1/2 cawan ikan bilis
  • Bahan-bahan untuk lain-lain:
    • Sedikit minyak masak
    • 2 biji telur
    • 1 ketul isi ayam
    • 1/2 kiub pati ikan bilis
    • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
    • 1 sudu kecil serbuk lada sulah
    • 1 batang serai
    • 6-10 ekor udang
    • 3 cawan nasi
    • Sayur kacang panjang
    • Sedikit kicap cair
    • Garam secukup rasa
    • Daun kesum
    • 1/2 – 1 kuntum bunga kantan

Cara penyediaan:

  1. Cara-cara untuk bahan tumis:
    1. Hiris kasar bawang putih dan bawang merah. cili padi buang tangkai sahaja.
    2. Masuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis kemudian tumbuk halus.
    3. Masukkan cili padi dan tumbuk kasar
  2. Cara-cara untuk nasi goreng:
    1. Potong kacang panjang,bunga kantan, serai, daun kesum dan isi ayam.
    2. Pecahkan telur dan masukkan telur dan kacau telur sampai hancur kasar. Bila garing boleh angkat dan ketepikan.
    3. Panaskan baki minyak, masukkan bahan tumbuk kasar dan tumis sampai masak garing.
    4. Masukkan isi ayam, kiub ikan bilis, serbuk lada hitam, serbuk lada sulah, hirisan serai, udang, dan nasi sejuk.
    5. Bila nasi dah masak seroi/ peroi masukkan kacang Panjang dan telur goreng.
    6. Masukkan hirisan daun kesum, bunga kantan, dan kicap cair (pilihan)
    7. Hidangkan dan tabur daun kesum dan bunga kantan.

Moga artikel ini bermanfaat bagi anda semua.

Kredit: Che Nom

Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia

(The information in this article is accurate as on the date of publication.)
Sesuai dijadikan bekal makanan, ini variasi resipi nasi goreng mudah & sedap!

Adriana Syaurah

Digital Writer

Bermula dengan jatuh cinta pandang pertama terhadap dunia perfileman, Syaurah kini menjadikan nota dan pen teman akrab dalam kamus kehidupan. Mahu mendalami sisi dunia penulisan gaya hidup, penulis Gen-Z ini juga kerap meluangkan masanya menyelam di bundle sekitar KL.