Search bukan macam baju atau makanan, kata Nasir
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Search bukan macam baju atau makanan, kata Nasir

Hampir mencecah lima dekad mewarnai industri, kumpulan Search dianggotai Amy selaku vokalis, Nasir Daud (basis), Hillary Ang dan Man Kidal (gitaris) tetap tidak berpuas hati dengan apa yang dilakar sekarang.

Kerana itu mereka berazam untuk menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.

Antara langkah yang perlu diambil, kata Nasir, ialah lebih berhati-hati dalam melangkah dan mengelak daripada mengeruhkan keadaan berhubung kontroversi membabitkan 'jenama' band berkenaan.

“Saya perlu berhati-hati untuk menjawab kerana sebelum datang ke sidang media ini, kami sudah putuskan bahawa kami tak akan sentuh mengenai perkara itu," katanya.

Mengenai cadangan yang diberikan pihak tertentu agar dua kumpulan yang berselisih boleh menggunakan nama Search, Nasir berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memberi komen lanjut.

Bahkan, katanya, mereka berpendapat cadangan tersebut tidak wajar diberikan perhatian pun.

"Dalam Malaysia ni banyak berlaku perkara pelik, jadi kita lupakan benda (cadangan) itu,” katanya pada sidang media mengumumkan konsert Search Symphony Live In Kuala Lumpur di sebuah hotel di Mutiara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Konsert jalinan simfoni orkestra itu dianjurkan Persatuan Rekreasi Global Malaysia dan dijadual berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 21 Sept depan.

Konflik jenama Search terus membayangi anggota kumpulan berkenaan selepas anggota asalnya berpecah kepada dua kumpulan.

Setiap kumpulan pula mendakwa mereka lebih berhak membawa jenama Search berbanding yang satu lagi.

Selain kumpulan yang dianggotai Nasir, satu lagi Search digerakkan oleh Kid dan Din yang menjadi gitaris grup terbabit.

Tak kata nak ke mahkamah

Bagi Nasir, jenama Search ibarat suatu institusi yang perlu dihormati kedua-dua pihak kerana mereka mungkin menjadi rujukan kepada generasi muda yang menggemari muzik rock pada masa depan.

“Biar kami jadi lebih baik, lebih berilmiah, dapat turun ke universiti misalnya, untuk berkongsi ilmu, beri motivasi dan pengalaman kepada generasi baru bagaimana Search bertahan.

“Perancangan ini tidak mustahil kerana kami juga sudah hampir masuk lima dekad.

“Cara ini lebih sistematik, ilmiah daripada melaungkan Search siapa (lebih berhak) pakai.

"Ini bukan baju atau makanan, ini sebuah institusi jadi ia perlu dihormati,” katanya.

Pada masa sama Nasir, 65, berkata dia menggunakan saluran yang harmoni bagi menjernihkan kekeruhan di antara mereka dengan Search yang diterajui Kid dan Din.

Berhubung isu royalti hasil jualan album Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang didakwa diterbitkan tanpa pengetahuan dia dan Amy, Nasir berkata pihaknya juga enggan menunggu maklum balas Kid dan Din.

“Kami tidak mahu tunggu sebab ia sudah tular, semua orang juga sudah tahu. Jadi saya tidak mahu sentuh lagi (sebab bimbang) nanti melarat.

“Kami tidak mahu cakap apa-apa dah. Bukan nak abaikan atau apa, tapi kami rehat dulu buat sementara waktu.

“Apa pun nanti biarlah melalui saluran yang betul. Saya tak kata nak pergi ke mahkamah, tapi saluran yang betul,” katanya.

Untuk rekod Kid dan Din berjanji mahu mengadakan sidang media bagi menjelaskan lebih terperinci berhubung isu royalti selepas berakhirnya Konsert Gemuruh yang akan berlangsung pada 29 Jun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS