Gaji penjawat awam naik, mutu perkhidmatan...?

Gambar hiasan. Foto fail Bernama
Gambar hiasan. Foto fail Bernama
A
A
A

PADA 1 Mei lalu, kerajaan mengumumkan perkhabaran baik buat penjawat awam iaitu kenaikan gaji melebihi 13 peratus mulai Disember ini.

Berita berkenaan ternyata menggembirakan golongan itu setelah 12 tahun tidak menerima sebarang kenaikan gaji walaupun kerajaan bersilih ganti.

Ramai dalam kalangan penjawat awam menzahirkan rasa syukur kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji yang melebihi 13 peratus dan ia merupakan hal terbaik dalam sejarah.

Pun begitu, apabila pengumuman itu dibuat, terdapat pihak khususnya mereka yang bukan penjawat awam meluahkan rasa kurang senang dengan kenaikan tersebut.

Mereka mendakwa, perkhidmatan yang ditawarkan oleh penjawat awam masih berada pada tahap kurang memuaskan.

Walaupun hal tersebut diakui oleh banyak pihak, namun ada juga dalam kalangan mereka yang berharap agar kenaikan gaji berkenaan mampu menjadi asbab kepada peningkatan mutu perkhidmatan.

Persoalannya, setelah kerajaan mengumumkan kenaikan gaji berkenaan, adakah mutu perkhidmatan penjawat awam ini meningkat atau kekal pada tahap sama?


BANGKANG:

Tidak jamin mutu perkhidmatan lebih baik

Artikel Berkaitan:

Apabila berbicara mengenai mutu perkhidmatan awam, ia bukan satu perkara yang boleh diukur berdasarkan nilai wang yang diperoleh oleh mereka.

Sebaliknya, ia menjadi satu perkara yang perlu diperbincangkan dengan lebih mendalam kerana ia melibatkan perkhidmatan kepada pengguna iaitu orang awam.

Jujur saya katakan, selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji itu, saya merasakan bahawa mutu perkhidmatan mereka masih berada pada tahap yang sama iaitu kurang memuaskan.

Ini kerana, mutu perkhidmatan bukan boleh diubah berasaskan nilai wang yang diperoleh oleh mereka kerana ia seolah-olah menjadi satu isu budaya.

Acap kali kita menerima aduan mengenai perkhidmatan awam di Malaysia masih lagi rendah tidak kira sektor kesihatan, pendaftaran dan sebagainya.

Pada saya, wang atau imbuhan diberikan tidak mampu mengubah sikap yang sudah dinormalisasikan, melainkan mereka memiliki kesedaran terhadap tanggungjawab dan amanah diberikan.

Bagaimanapun, saya menyokong kenaikan gaji ini, namun berharap agar kerajaan mahupun individu boleh berkerjasama memperbaiki sistem perkhidmatan awam supaya ia setanding dengan imbuhan yang diterima.

- Pakar pemasaran, Vinotharan, 38

Vinotharan
Vinotharan

Tiada apa yang berubah

Secara keseluruhan peningkatan gaji penjawat awam sama sekali tidak memberi kesan terhadap mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Perkhidmatan masih berada di tahap kurang memuaskan kerana ada dalam kalangan penjawat awam yang tidak meniktikberatkan aspek tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Saya berani berkata sedemikian kerana mempunyai pengalaman dengan penjawat awam yang bersikap kurang profesional dalam menjalankan tugas.

Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang mempunyai pengalaman ini tetapi ramai lagi berdepan nasib sama.

Bagi saya, jika kerajaan mahu menambah baik mutu perkhidmatan awam, ia bukan semata-mata dengan menaikkan gaji mereka tetapi melakukan reformasi dalaman dengan memecat mana-mana pekerja yang tidak melakukan pekerjaan dengan baik.

Kekalkan golongan yang bijak dalam melakukan pekerjaan.

Kalau bekerja di sektor swasta, gaji seseorang itu hanya akan naik jika mereka bijak melakukan tugas dan perkara tersebut yang harus dipraktikkan dalam kerajaan.

- Pakar operasi digital, Izzul Azzam Nazaruddin, 25

Izzul Azzam
Izzul Azzam


SOKONG:

Mutu perkhidmatan meningkat, namun tidak ketara

Sejak pengumuman kenaikan gaji dibuat, saya tidak nafikan bahawa mutu perkhidmatan penjawat awam semakin meningkat, namun tidak semua.

Ini kerana, sikap dalam melakukan pekerjaan dan mutu perkhidmatan bergantung juga kepada penjawat awam tersebut.

Ada sesetengah penjawat awam mengambil kesempatan dan akan meneruskan sikap malas atau tidak bertanggungjawab dalam bidang pekerjaan mereka walaupun dinaikkan gaji.

Bagaimanapun, secara dasarnya kita perlu memahami bahawa rancangan kenaikan gaji itu adalah untuk menaikkan dan mengimbangi pendapatan kelompok bergaji rendah dengan kelompok bergaji tinggi.

Pun begitu, saya berpandangan bahawa kenaikan itu berupaya meningkatkan semangat dan motivasi penjawat awam yang boleh membawa kepada peningkatan produktiviti serta kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan.

Walaupun kenaikan gaji masih belum dilaksanakan tetapi saya dapat lihat ada perubahan dalam mutu perkhidmatan iaitu semakin membaik.

Saya percaya, dengan kenaikan itu, rakyat Malaysia akan menerima perkhidmatan yang lebih baik dan teratur berbanding sebelum ini.

- Guru tuisyen, Liu Jiun Er, 26

Jiun Er
Jiun Er

Penjawat awam makin mesra

Saya berpandangan bahawa kenaikan gaji penjawat awam ini sebagai satu usaha dalam menaikkan lagi semangat mereka bekerja.

Ini kerana, saya melihat berlaku sedikit perubahan dalam perkhidmatan yang mana layanan mereka semakin baik lebih-lebih lagi yang berada di kaunter bahagian hadapan.

Sebelum ini, ada segelintir penjawat awam yang melakukan pekerjaan seolah-olah tidak ikhlas dan kurang ramah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai.

Pun begitu, kenyataan saya ini tidak bermaksud semua penjawat awam itu memiliki perwatakan sinis dan malas bekerja, cuma ada segelintir sahaja yang berkelakuan sedemikian.

Bagaimanapun, saya percaya keadaan itu akan mulai berubah apabila mereka menerima kenaikan gaji pada Disember nanti.

Saya menyifatkan pendekatan itu sebagai satu usaha yang baik dalam mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada penjawat awam.

- Suri rumah, Normah Jaafar, 61

Normah
Normah

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!