Termaktub Sebagai Hak Bumiputera… Jangan Ganggu UiTM – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah hak bumiputera di negara ini dan telah termaktub dalam Perlembagaan.

Ujarnya, beliau tidak bersetuju sekiranya universiti tersebut dibuka kepada kaum bukan bumiputera dan memberi amaran agar hak bumiputera tersebut tidak diganggu.

“UiTM ini adalah sangat unik sebab ia merupakan milik bumiputera dan akan kekal sebagai milik bumiputera. Sebab tu, apabila ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa UiTM ini perlu dibuka kepada bukan bumiputera, secara dasarnya, saya tidak setuju… sebab UiTM ini termaktub dalam perlembagaan bahawa ia adalah milik bumiputera dan jangan ganggu hak bumiputera dalam negara kita.

“Kalau mereka kata bahawa ‘kita nak buat program ini adalah cardiothoracic’, memang betul dalam negara ini tiada cardiothoracic. Ada, tapi kurang. Tak salah untuk dibuka di UiTM, tapi ambillah doktor-doktor bumiputera. Takkan tidak ada doktor-doktor bumiputera?

“Kalau kata ada doktor yang bukan bumiputera, yang nak buat cardiothoracic kenapa nak kacau UiTM? Kita ada UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), UM (Universiti Malaya), kita bagi dekat sana. Jangan ganggu UiTM. UiTM mesti kekal milik bumiputera dulu, kini dan selamanya,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menegaskan bahawa beliau akan berusaha untuk mempertahankan UiTM agar ia terus menjadi kepunyaan bumiputera.

“Apabila kita mempertahankan hak kita, kita tak pernah ambil hak orang lain. Kita tak pernah rampas hak kaum-kaum lain. Malah, kita bantu lagi. Menteri (Menteri Pendidikan Tinggi) dah keluar kenyataan bahawa tiada langsung perbincangan nak buka UiTM kepada non-bumiputera maka kita akan kekal begitu sampai bila-bila.

“Apa masalah nak ganggu orang bumiputera punya hak ni? Saya nak beritahu bahawa memang saya wakil rakyat DUN (Dewan Undangan Negeri) Merlimau… memang saya Exco Kerajaan Negeri Melaka tapi saya beritahu ada yang lebih penting tugas saya. Saya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mempertahankan supaya UiTM ini milik bumiputera sampai bila-bila.

“Saya tidak mahu bercakap politik tetapi saya nak beritahu ini hak kita yang perlu dipertahankan. Kepada non-bumiputera nak belajar jadi pakar boleh, kita bagi pada UKM, UM… banyak lagi universiti lain,” katanya lagi.

Pada 25 April lalu, sebuah portal berita melaporkan Anggota Lembaga Program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’ UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan agar kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah.

Isu ini timbul apabila pelajar yang terlibat dalam Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) ditolak permohonan mereka dalam Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berikutan sijil itu tidak diiktiraf.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga memaklumkan bahawa kerajaan tidak pernah bincang atau membenarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurutnya, isu tersebut sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekali gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.