Banjir: 100 mangsa masih di PPS di Perak | Harian Metro
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan Trong ke pusat pemindahan sementara (PPS). FOTO IHSAN APM TAIPING.
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di kawasan Trong ke pusat pemindahan sementara (PPS). FOTO IHSAN APM TAIPING.
BERNAMA

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak merekodkan penurunan kepada 100 mangsa daripada 29 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 529 mangsa membabitkan 163 keluarga, malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah terjejas iaitu empat di Taiping dan satu di Kuala Kangsar.

Di Taiping, seramai 66 orang daripada 22 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Batu Hampar Trong, Sekolah Kebangsaan (SK) Matang, Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Baru Trong dan SK Temerlok Trong.

Sementara itu, di Kuala Kangsar, seramai 34 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid.

Kenyataan itu turut memaklumkan dua jalan iaitu FT 004 Jalan Raya Timur Barat (Kupang Gerik-Jeli) dan FT 1152 Felda Trolak Selatan, masing-masing dibuka satu lorong akibat kejadian tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 9:24 AM