'Sihat Xpress', inisiatif MEASAT-Mudah HealthTech sedia telekesihatan pertama di Malaysia - TVS
Ketua Pegawai Operasi MEASAT Global Berhad, Yau Chyong Lim (ketiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mudah HealthTech, Dato’ Dr Kantha Rasalingam (kedua dari kanan) merakam kenangan selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Sihat Xpress di Kampung Togop Darat 1, Ranau, Sabah pada Khamis. Foto TVS

‘Sihat Xpress’, inisiatif MEASAT-Mudah HealthTech sedia telekesihatan pertama di Malaysia

ByRadzi Ahmad

RANAU, 17 Mei: Penduduk kampung Togop Darat 1, Ranau, Sabah kini boleh menikmati kemudahan perkhidmatan telekesihatan ‘Sihat Xpress’ menerusi kiosk pintar yang pertama kali dilancarkan di Malaysia.

Inisiatif yang dilancarkan oleh Measat Global Berhad (MEASAT) dengan kerjasama Mudah HealthTech diwujudkan menerusi platform ‘CONNECTme NOW’.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT Global Berhad, Yau Chyong Lim berkata kiosk telekesihatan itu membolehkan penduduk kampung menjalankan pemeriksaan kesihatan sendiri, serta berkonsultasi dengan doktor secara dalam talian.

“Dalam fasa satu inisiatif ini, kami ingin menyediakan pemeriksaan kesihatan asas.

“Contohnya, mereka boleh memeriksa suhu, oksigen, tekanan darah, dan bacaan gula.

“Ini mungkin hanya pemeriksaan asas tetapi amat bermakna buat penduduk di sini, kerana untuk mereka pergi ke klinik terdekat akan memakan masa hampir 45 minit,” katanya.

Yau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) perkhidmatan telekesihatan antara MEASAT dan Mudah Healthtech di sini pada Khamis.

MoU tersebut ditandatangani oleh Yau dan Ketua Pegawai Eksekutif Mudah HealthTech, Dato’ Dr Kantha Rasalingam sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng.

Menurut Yau, Sihat Xpress merupakan satu inisiatif untuk merapatkan jurang digital yang luas antara kawasan pedalaman dan bandar dengan menggunakan infrastruktur jalur lebar satelit ‘CONNECTme NOW’ yang sedia ada.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang kami telah kenal pasti, dan kami berharap ia akan membantu komuniti (di pedalaman).

“Kami juga sangat bertuah kerana bekerjasama dengan rakan kerjasama Mudah HealthTech, di mana mereka berkongsi visi dan misi yang sama,” katanya.

Untuk fasa seterusnya, Yau berkata jenis pemeriksaan akan ditambah seperti untuk asid urik, tertakluk kepada maklum balas dan data daripada pelaksanaan fasa pertama ini.

Dedahnya lagi, pihaknya dan Mudah Healthtech menyasar untuk mengembangkan inisiatif Sihat Xpress di 1,000 lokasi di seluruh negara menjelang 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HealthTech, Dato’ Dr Kantha Rasalingam berkata MoU tersebut membuktikan kepentingan kerjasama tersebut dan komitmen untuk meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.

“Sihat Xpress memberi peluang kepada individu untuk terlibat urus dengan doktor menerusi telekesihatan dan pemeriksaan ‘Point-of-Care’.

“Platform ini membolehkan pemantauan kesihatan secara proaktif melalui penilaian vital rutin, menyediakan ketersediaan perubatan yang konsisten,” katanya.

Justeru itu, Kantha berkata projek kiosk Sihat XPress itu sejajar dengan objektif nasional untuk mendigitalkan kemudahan penjagaan kesihatan menjelang 2030, serta meningkatkan kesamarataan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk semua rakyat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found